Jebat melirik matanya ke arah jam
dinding. Sudah pukul 11.00 malam. Dia baru pulang dari menunaikan solat terawih
di masjid kampungnya. Merdu sekali suara imam muda yang mengimami solat terawih
tadi. Alunan tarannum jiharka, rast, dan
bayyati kurdi diselang-selikan dalam bacaannya yang menyentuh perasaan. Jebat
yang memahami bahasa arab hasil pengajiannya di bumi Jordan turut merasai getaran yang hebat tatkala
Al-Quran itu dibaca. Memang, sekiranya kalamullah itu difahami pengertiannya,
nescaya bergetarlah jiwa-jiwa yang memiliki benih iman di dadanya.
Telefon bimbitnya dicapai. Ada
panggilan yang tidak berjawab dari sahabatnya, Dr Faris. Sahabat itu sudah lama
dikenalinya semenjak zaman pengajian di University of Science
& Technology ( JUST ) lagi. Universiti itu antara yang menawarkan
pengajian doktor perubatan kepada pelajar asing di Jordan. Dan dirinya, selaku
salah seorang pelajar cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM )
telah ditawarkan ke sana. Hampir 7 tahun berada di sana, pelbagai rencah
kehidupan sudah dilalui. Pahit, manis, semuanya sudah menjadi adunan harian
yang sebati.
Nombor telefon. Dr Faris didail.
Talian bersambung. Kedengaran nyanyian Maher Zain di hujung talian menjadi pilihan
nada dering sahabatnya.
“ Assalamualaikum, Jebat ya? ” suara
Dr Faris kedengaran agak perlahan. Keletihan barangkali dengan tugas harian
beliau sebagai doktor. Memang kerjaya sebagai doktor perubatan ini memerlukan
pengorbanan yang bukan alang kepalang. Bukan calang-calang orang yang mamu
berhadapan dengan tekanan itu.
“ Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa
barakatuh, ya saya. Tadi Faris telefon sayakah? Maaf saya baru pulang dari
masjid. Telefon ini pula tidak dibawa. Ada apa ya? ” Jebat bertanya.
“ Begini Jebat. Engkau tahu bukan
bahawa semalam Gazzah diserang?” soal Dr Faris pula.
“ Ya tahu, kenapa?” Jebat melanjutkan
pertanyaan. Masakan dia tidak tahu bahawa Gazzah yang berada di Palestin itu
diserang. Berita itu tersebar di mana-mana. Di Facebook, Twitter, televisyen,
radio, semuanya menyiarkan berita yang sama. Negara Israel menyerang Palestin
lagi, buat kesekian kalinya.
“ Kerajaan Malaysia memutuskan untuk
menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Antara yang diperlukan ialah
kira-kira 50 orang doktor. Engkau berminat untuk turut serta? Nama aku
dicadangkan untuk pergi, tetapi aku terlibat dengan kemalangan. Kaki aku patah.
Aku tidak dapat pergi, ” tenang Dr Faris menjelaskan.
“ Ya Allah, bila engkau kemalangan?
Aku tidak tahu pun ! Inna lillahi wa inna ilaihi rajiiun, ” spontan bibir Jebat
mengucapkan kalimah istirja’. Memang kalimah itu adalah doa yang dianjurkan
apabila mendengar apa-apa musibah, dan tidak terhad terhadap kematian sahaja
seperti yang disangka oleh sesetengah orang.
“ Semalam aku kemalangan. Ada anak
kucing melintas di tengah jalan. Aku mahu mengelak daripada terlanggar anak
kucing itu. Akibatnya aku terbabas dan dilanggar oleh kereta yang datang dari
arah berlawanan. Mujur aku tidak apa-apa. Kaki ini sahaja yang patah. Sebab itu
aku masih boleh menggunakan telefon ini. Memang sengaja aku minta isteri aku,
Fauziah agar tidak menghobeh-hebohkan hal ini.Perkara kecil sahaja. Apalah yang
mahu dikecohkan sangat, “ Dr Faris menceritakan kejadian yang dialaminya.
Sungguh, tidak sanggup dia melanggar anak kucing berbelang kuning itu yang berada
di tengah-tengah jalan. Dia memang suka dengan kucing. Di rumahnya ada tiga
ekor kucing yang dibelanya sejak kucing-kucing itu masih kecil lagi. Masakan
dia tergamak pula melanggar anak kucing di tengah jalan itu?
“ Sepatutnya aku ke Palestin dua hari
lagi. Tetapi dengan keadaan aku sekarang, mustahil aku dapat pergi. Aku
teringin sangat mahu ke sana, Jebat. Kebetulan nama engkau juga ada dalam
senarai calon pengganti yang dicadangkan oleh kerajaan jika calon utama tidak
dapat pergi. Jika engkau setuju, malam ini juga aku maklumkan kepada wakil kerajaan
untuk menggantikan aku. Mereka memerlukan keputusan segera. Maklumlah, banyak
urusan perlu dilakukan kerana keberangkatan itu hanya dua hari lagi,” Dr Faris
meminta pertimbangan sahabat baiknya itu.
“ Aku setuju. Bagaimana dengan
persiapan untuk pergi? Pasport dan sebagainya? “ tanya Jebat pula. Maklumlah,
agak tergesa-gesa juga pemergiannya kali ini. Bimbang pula dia jika ada apa-apa
yang tidak kena nanti.
“ Itu engkau jangan risau. Kerajaan
akan uruskan segala-galanya. Urusan ini akan dipermudah antara kerajaan
Malaysia dan Palestin. Kita datang pun untuk membantu mereka. Cuma bagaimana
dengan keluarga engkau? Adakah mereka bersetuju?” jelas Dr Faris.
“ Itu jangan engkau risaukan. Pandai-pandailah
aku uruskan nanti, “ Jebat memberi jaminan.
“ Itu aku tahu. Cuma bagaimana dengan
urusan perkahwinan engkau? Bagaimana dengan Fatihah?” soal Dr Faris. Serba
salah juga sebenarnya dia mahu meminta sahabat baiknya itu untuk pergi ke
Palestin. Tetapi amat sukar untuk dicari doktor yang mahu menjadi sukarelawan
ke sana di saat-saat akhir begini. Bahaya. Silap-silap, perginya tidak kembali
lagi !
Jebat terdiam seketika. Fikirannya
menerawang. Dia teringat, dua hari lagi adalah tarikh perkahwinannya. Ya. Dia
merancang untuk berkahwin di bulan Ramadan. Memang tidak pernah dibuat orang.
Tapi itu sahaja masa yang dia ada. Kerjayanya sebagai doktor menyebabkan agak
sukar bagi dirinya mencari masa yang sesuai untuk melangsungkan tarikh
keramatnya itu. Sudah beberapa kali dia menangguhkan pernikahannya dengan
Fatihah. Sungguhpun Fatihah dan keluarganya memahami situasi dan kerjaya Jebat
yang tidak menentu, namun Jebat berasa segan untuk menangguhkan perkahwinan
mereka untuk kesekian kalinya. Akhirnya, majlis itu dirancang untuk diadakan
pada bulan Ramadan sebab jadual Jebat agak padat menjelang Syawal dan
seterusnya. Lagipun tidak salah melakukan pernikahan di bulan Ramadan. Cuma
orang kita sahaja yang tidak biasa melakukannya.
Jebat teringat, sepatutnya ijab dan
qabul dilakukan selepas solat Maghrib berwalikan ayah Fatihah sendiri, Haji
Idris. Kemudian dia sendiri akan mengimamkan solat Isyak dan terawih secara
berjemaah. Kemudian, jamuan kecil-kecilan disediakan buat tetamu yang ada. Tiada
majlis bersanding, tepung tawar dan seumpanya. Majlisnya ringkas sahaja. Apa
yang penting, menepati syariat. Soal penerimaan orang, itu terserah kepada
penilaian masing-masing.
Tapi kini nampaknya perancangan itu
terpaksa ditangguhkan buat kesekian kalinya.
“ Tidak mengapa, aku boleh uruskan
hal itu. Engkau masukkan sahaja nama aku,” Jebat membuat keputusan. Ada nada
yakin dalam getaran suaranya.
“ Baiklah, jika begitu. Aku hubungi
pegawai yang bertanggungjawab sekarang juga. Nanti aku maklumkan perkembangan
terkini kepada engkau. Assalamualaikum, ” Dr aris mengakhiri perbualan.
“ Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa
barakatuh, ” Jebat membalas salam sahabatnya dengan ucapan yang lebih panjang.
Memang begitu yang dianjurkan oleh Islam. Membalas ucapan salam dengan ucapan
yang setara atau lebih baik.
“ Kamu sudah membulatkan tekad? “
Puan Hafsah bertanya kepada anaknya.
“ Ya ibu. Rakyat Palestin lebih
memerlukan bantuan ketika ini. Ini sahaja yang mampu untuk saya sumbangkan.
Adapun urusan perkahwinan, boleh ditangguhkan ke lain masa. Izinkan saya ke
sana ibu, “ Jebat mengucup tangan ibunya. Jari-jemari itu telah berkedut
seribu. Hampir tidak perasan dirinya tentang hal itu. Tangan itulah yang
dahulunya menghayun buaian ketika dirinya masih kecil. Ibunya membesarkan
dirinya seorang diri. Dialah satu-satunya anak ibunya. Ayahnya meninggal dunia
tidak lama setelah Jebat dilahirkan. Ibunya tidak pula berkahwin lain. Jebat
tidak tahu alasannya.
Pernah juga dia mempersoalkan.
Mengaja Jebat nama yang diberi. Kata ibunya :
“ Nama itu diberi oleh ayah kamu. Dia
ingin agar kamu memiliki semangat Hang Jebat. Namun jangan pula dituruti
tingkah lakunya,”
“ Maksud ibu?” Jebat bertanya.
Kehairanan. Dia tahu kisah Hang Jebat dan Hang Tuah. Ada disebutkan kisah itu
dalam Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang. Sama ada benarkah Hang Jebat dan
Hang Tuah itu benar-benar wujud, atau sekadar mitos tidak pula dia ketahui.
“ Kata ayah kamu, Hang Jebat benar
apabila dia berkata bahawa Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Tindakannya untuk menuntut bela terhadap kezaliman sultan kepada Hang Tuah itu
tepat. Cuma caranya yang kurang sesuai. Dia tidak sepatutnya mengamuk dan membunuh
rakyat jelata yang tidak ada kena mengena dengan perbuatan sultan itu.
Sepatutnya, dia hanya mengarahkan perjuangannya terhadap sultan sahaja,” jelas
ibunya.
“ Bagaimana pula dengan Hang Tuah?”
Jebat menduga.
“ Ayah kamu berpendapat bahawa boleh
taat kepada pemerintah selama mana perintah itu atas perkara yang makruf. Hang
Tuah tidak sepatutnya taat secara membuta tuli. Tetapi Jebat pun satu juga.
Mengapa dia bunuh orang awam. Dalam hal ini, kalaulah sultan itu seorang yang
adil dan berhati-hati , alangkah bagusnya. Tidaklah beliau terburu-buru membuat
keputusan kerana cemburu kepada Hang Tuah pula. Jadi tiga watak utama dalam
cerita itu ada kesilapan masing-masing,” ujar ibunya.
Kenangan itu terhenti apabila Jebat
melihat titisan jernih berguguran di pipi ibunya.
“ Baiklah, ibu izinkan. Jika hasratmu
itu murni kerana Allah demi agama ini, siapalah ibu untuk menghalang, cuma Fatihah
bagaimana? ”
“ Saya akan bertemu dengan
keluarganya sebentar lagi,” jelas Jebat. Lega kerana ibunya bersetuju.
Kini ibunya telah mengizinkan dia
pergi ke Palestin. Hanya pihak Fatihah yang belum dimaklumkan lagi,
**************************************************************************
“ Engkau mahu pergi ke Palestin?? Di
saat-saat begini?? Jangan buat gila, Jebat !” tinggi sedikit nada Haji Idris.
Menahan marah yang menyesakkan dada. Abdullah, anak lelaki Haji Idris yang
sulung menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak percaya.
Isteri Haji Idris, Hajjah Fatimah
hanya mendiamkan diri dengan dahi berkerut. Sukar juga dia mahu memahami
keputusan calon menantunya itu.
Kad jemputan sudah dikirimkan.
Saudara mara dan sahabat handai terdekat sudah diberitahu. Kini majlis itu mahu
ditangguhkan pula?? Sudahlah keputusannya mahu mengadakan majlis akad di bulan
Ramadan itu dipersoalkan, kini timbul isu lain pula.
Fatihah yang berada di sebelah ibunya
menundukkan kepala. Kepalanya ligat berfikir untuk mencerna alasan yang
diberikan oleh tunangnya itu.
Sudah lama dia mengenali tunangnya.
Sedikit sebanyak dia sudah memahami prinsip lelaki yang bernama Jebat itu. Meskipun
mereka tidak pernah berjumpa secara berdua melainkan ditemani oleh mahram, dia
tahu isi hati sekarang ini. Agama, memang memang menduduki tempat pertama di
hati lelaki itu. Itulah yang disyaratkan
oleh Jebat ketika memlih dirinya dan itu juga yang disyaratkan oleh dirinya
ketika bersetuju menerima Jebat sebagai calon suaminya.
“ Ayah, ibu, abang, izinkan saya
bersuara,” Fatihah mencelah penuh beradab. Sopan santun yang diajar oleh ibu
bapanya sejak kecil membekas sehingga sekarang.
“ Ya bicaralah wahai Fatihah.
Walaupun ayah kurang bersetuju dengan tindakan Jebat ini, keputusan akhir tetap
di tangan kamu. Ayah tidak akan memaksa kamu mengikut keputusan ayah,” Haji
Idris memberi keizinan. Memang dia tidak mahu anaknya membuat keputusan. Dahulu
pun, dia tidak menghalang hasrat Fatihah untuk menerima lamaran Jebat. Meskipun
beliau berstatus wali mujbir yang dianggap boleh menikahkan anaknya dengan
orang yang dianggap sesuai menurut pendapat Mazhab al-Syafie, dia memberikan
kebebasan bersyarat kepada anaknya itu untuk memilih pasangan hidunya.
Syaratnya,bakal menantunya itu mesti seorang yang memiliki pegangan agama yang
teguh. Sebab itulah, dia menerima pinangan Jebat terhadap anaknya meskipun
hatinya lebih berkenan untuk menjodohkan Fatihah dengan Ustaz Fauzi, anak
sahabatnya Haji Abd Qadir, yang berkelulusan Maahad Qiraat Shoubra Mesir. Malah
sampai sekarang Ustaz Fauzi menyatakan kesediaan untuk menunggu Fatihah. Cuma
barangkali jodoh mereka tiada.
“ Ayah, ibu, abang, saya faham
situasi keluarga kita. Pada masa yang sama, saya faham situasi Dr Jebat. Dan
saya rasa kita semua setuju bahawa rakyat Palestin memerlukan sokongan umat
Islam yang lain sekarang.” Tenang Fatihah melafazkan tutur kata di hati. Memang
dia memanggil Jebat dengan panggilan Dr Jebat. Tidak pernah dia memanggil Jebat
dengan panggilan sayang, ‘ hubby ‘ ataupun yang seumpamanya.
“ Pernikahan kami boleh ditangguhkan.
Rakyat Palestin lebih memerlukan Dr Jebat sekarang. Inilah perjuangan kita.
Inilah sumbangan yang boleh kita lakukan untuk Palestin. Jika dengan
menangguhkan pernikahan kita, rakyat Palestin akan mendapat manfaatnya, saya
rela, “ Fatihah memberi kata putus. Matanya berkaca-kaca. Naluri kewanitaannya
terusik.
Haji Idris terdiam. Hajjah Fatimah
dan Abdullah saling memandang antara satu sama lain. Jebat menghela nafas
panjang. Dia sendiri sebenarnya tidak pasti sama ada keputusannya ini tepat
atau tidak. Tetapi apabila dia teringatkan tangisan anak-anak kecil di Gazzah
yang kehilangan ibu dan bapa mereka, kesangsiannya hilang sama sekali. Dia
bertekad.
“ Baiklah jika begitu. Saya minta
diri dahulu,” Jebat mahu lekas pulang. Bimbang pula dia jika berlama-lama di
situ tekadnya berubah.
“ Sebelum itu saya ada satu
permintaan. Jika ada apa-apa terjadi kepada saya, Tuan Haji nikahkanlah Fatihah
dengan Ustaz Fauzi. Dia seorang yang baik. Saya relakan, ” Jebat mengajukan
permintaan.
“ Saya akan tunggu Dr Jebat pulang,”
Fatihah menundukkan matanya yang berkaca. Tidak berani dia bertentang mata
dengan tunangnya itu.
“ Saya pun berharap begitu. Tetapi
kita mesti bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Tidak mengapa. Saya redha
jika kita tiada jodoh di dunia ini. Saya pulang dahulu,” Jebat bingkas
bersalaman dengan Haji Idris dan Abdullah. Tanpa menoleh lagi, dia mengatur
langkah meninggalkan perkarangan rumah Haji Idris.
Itulah kali terakhir mereka bertemu
sebelum Jebat berangkat ke Palestin. Sengaja Jebat tidak membenarkan Haji Idris
dan keluarganya menghantarnya di lapangan terbang. TIdak mahu menyusahkan
mereka katanya. Padahal hatinya sendiri sebenarnya tidak keruan jika Fatihah
turut menghantarnya. Hanya ibunya sahaja, Puan Hafasah yang mengiringi
keberangkatannya bersama delegasi Malaysia yang lain.
************************************************************************
Sudah seminggu keberangkatan Jebat ke Palestin. Setiap hari jualah Jebat menelefon ibunya memaklumkan perkembangan terkini. Menurut Jebat, para doktor menghadapi masalah untuk merawat mangsa-mangsa serangan. Bekalan perubatan yang dibawa hampis habis kerana jumlah mangsa yang di luar jangkaan. Tentera Israel pula tidak henti-henti menyerang Palestin. Bantuan perubatan juga sukar disalurkan kerana Mesir enggan membuka pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Palestin dengan Mesir. Negara-negara Arab yang lain juga seakan-akan membisu. Hanya beberapa negara seperti Malaysia yang kelihatan cakna dengan situasi di Palestin. Mahu harapakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Bak kata orang muda, harapkan panda, panda tidak boleh diharap. Pasukan perubatan yang disertai Jebat terkepung oleh asakan Tentera Israel yang bertali arus itu.
Hari
itu Puan Hafsah berasa sedikit gelisah. Sudah dua hari Jebat tidak menelefon
mengirimkan khabar berita. Laporan berita mengatakan bahawa pasukan perubatan
Malaysia terputus hubungan dengan pihak luar gara-gara Tentera Israel mengebom
kawasan berhampiran. Usaha sedang dilakukan oleh pihak kerajaan mereka untuk
menghubungi mereka semula.
“ Ya Allah, sekiranya ujian ini
Engkau hadirkan untuk aku dan keluargaku, maka aku redha Ya Allah. Sesungguhnya
solat kami, ibadah kami, hidup kami, dan mati kamu hanya semata-mata kerana
Engkau Ya Allah,” Puan Hafsah merintih dalam munajat yang panjang di tengah
kepekatan malam. Selama ini memang dia istiqamah berjaga malam untuk beribadah
kepada Sang Pencipta. Kepada siapa lagi mahu diserahkan harapan melainkan
kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui?
Keesokan
paginya, telefon bimbit Puan Hafsah berdering. Puan Hafsah teragak-agak untuk
mengangkat nombor yang tidak dikenalinya itu. Hatinya bagaikan sudah menebak
sesuatu. Perlahan-lahan diangkatnya jua panggilan itu.
“ Assalamualaikum, boleh saya
bercakap dengan Puan Hafsah, ibu Dr Jebat? Suara di hujung talian bertanya.
“ Ya saya. Boleh saya tahu siapa yang
bercakap di sana? ”
“ Saya wakil dari pihak kerajaan
Malaysia. Ada sesuatu yang ingin saya maklumkan kepada puan tentang Dr Jebat.
Harap puan bersabar ya,” agak berhati-hati suara di hujung talian itu menyusun
bicara.
Bagai luluh hati Puan Hafsah apabila
menerima berita tentang Jebat. Kawasan di mana delegasi perubatan Malaysia
ditempatkan telah diserang oleh tentera Israel. Ramai yang terkorban. Salah
seorang yang tidak bernasib baik itu ialah Jebat. Dia ditemui dalam keadaan
berlumuran darah akibat terkena serpihan bom barangkali. Anehnya, di bibirnya
menguntum senyuman.
Dengan deraian air mata, Puan Hafsah
menunaikan solat sunat mutlak dua rakaat.
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun
Allahummaghfirlahu warhamhu wa afihi
wa’fu anhu
Doa itu tidak putus-putus dipanjatkan
ke hadrat Ilahi…
“ Ibu redha dengan pemergianmu Jebat.
Dirimu hanyalah pinjaman dari Allah dalam hidup ibu, untuk menguji
hamba-hamba-Nya. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.
************************************************************************
Fatihah
menyeka air matanya yang mengalir. Perkhabaran yang baru diterimanya dari Puan
Hafsah tadi mencarik-carik hatinya. Tetapi dia akur. Ajal, maut, jodoh dan
pertemuan terletak di dalam kekuasaan Allah, bukan di tangan manusia.
Sudah takdir bukan jodoh mereka
berdua di dunia ini. Dia tidak menyesal dengan pemergian Jebat. Baginya tindak
Jebat itu suatu yang betul.
Perginya memburu syahid.
Perginya memburu syahid.
Perginya demi meninggikan agama Allah yang
mulia ini.
Sekental Hang Jebat, yang membulatkan
tekad untuk membantu sahabatnya Hang Tuah, sekental itulah semangat Dr Jebat
untuk membantu saudara seagamanya di Palestin
Takbir !
Allahu Akbar !
~ MIAR ~
:)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan