Sumber : Wikipedia |
Saya bukanlah peminat filem Hindustan. Walau
bagaimanapun kegemaran saya ialah untuk mengambil tahu tentang banyak perkara agar
saya cakna dengan sesuatu isu. Kegemaran ini menyebabkan saya membaca dan
mencari maklumat tentang hampir semua perkara yang termampu untuk dihadami dan
dianalisis secara kritis. Hal itu termasuklah mengapa Manchester United gagal
memenangi Liga Perdana di bawah bimbingan David Moyes, siapakah calon Perdana
Menteri Malaysia selepas YAB Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak, serta mengapa
Zizan tidak berpasangan dengan Johan dalam Maharaja Lawak Mega 2015. Kali ini,
isunya ialah sebuah filem yang telah menjadi filem terlaris dalam
sejarah perfileman Bollywood di India setakat ini dengan menyentuh sebuah topik
yang kontroversi iaitu agama.
Aamir
Khan ialah salah seorang aktor daripada tiga orang aktor paling berpengaruh di
Bollywood. Dua orang aktor lagi ialah Salman Khan dan Shah Rukh Khan. Aamir
sering digelar sebagai Ace Khan, Salman pula dikenali sebagai Blockbuster Khan,
dan Shah Rukh digelar sebagai King Khan. Ketiga-tiga mereka telah merajai
Bollywood selama lebih dua puluh tahun.
Aamir
Khan dikenali sebagai Mr Perfectionist, seorang yang mementingkan kesempurnaan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau begitu berhati-hati dalam memilih
filem yang akan dilakoninya. Beliau cuba lari dari tema klise filem Bollywood
iaitu cinta. Ada beberapa buah filemnya yang saya kira memiliki mesej yang agak
baik seperti Taree Zameen Par dan 3 Idiots. Taree Zameen Par mengisahkan
tentang seorang guru yang berhadapan dengan seorang pelajar disleksia. 3 Idiots
pula berkisar tentang kritikan terhadap sistem pendidikan yang berorientasikan
peperiksaan. 3 Idiots pernah memegang rekod sebagai filem Bollywood yang paling
laris di India selama hampir 4 tahun sebelum rekod itu dipecahkan oleh Chennai
Express lakonan Shah Rukh Khan. Rekod Chennai Express itu kemudiannya
dipecahkan semula oleh filem Dhoom 3 lakonan Aamir dalam tahun yang sama. Kini, Aamir Khan memcahkan rekodnya sendiri apabila jumlah kutipan PK sudah melebihi jumlah kutipan Dhoom 3.
PK
menceritakan tentang seorang ( atau seekor? ) makhluk asing yang datang ke bumi
untuk mempelajari tentang manusia. Watak PK dijayakan oleh Aamir Khan. PK
bermaksud mabuk. PK tidak dapat kembali ke planet asalnya kerana alat
komunikasi untuk menghubungi kapal angkasanya dicuri oleh manusia. Apabila PK
cuba untuk mencari semula alat komunikasi tersebut, manusia-manusia yang
ditemuinya mengatakan bahawa hanya Tuhan yang dapat membantunya. Tetapi PK menjadi
keliru apabila mendapati manusia menyembah pelbagai jenis Tuhan.
Di
planet PK, mereka berkomunikasi dengan menggunakan sentuhan. Justeru, tiada
ruang untuk berbohong. Ini menyebabkan PK berasa hairan apabila manusia sering
bercakap sesuatu yang berbeza dengan apa yang sebenarnya mereka rasakan. Ini
suatu aspek kritikan yang saya persetujui dalam dalam filem ini. Memang benar
bahawa kejujuran semakin sukar untuk ditemui di zaman ini. Manusia lebih gemar
untuk bersilat lidah memutar rasa.
Percubaan
PK untuk mencari Tuhan yang boleh membantunya mencari alat komunikasinya telah
menemukannya dengan pelbagai agama. Pada mulanya PK menyangka bahawa hanya ada
satu Tuhan di dunia ini. PK pergi ke kuil Hindu. Di sana salah seorang peniaga
menjual sebuah patung Tuhan kepada PK. PK berasa hairan apabila mendapat tahu
ada pelbagai jenis patung Tuhan yang berbeza saiz dan patung itu dibuat sendiri
oleh peniaga tersebut. PK bertambah hairan apabila patung yang dibelinya tidak
dapat menunaikan hajatnya. Hal ini mengingatkan saya kepada ayat Al-Quran yang berikut
:
وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا
يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ
Ertinya :
Dan apa-apa yang mereka seru selain Allah itu
tidak mencipta sesuatupun bahkan mereka itulah yang dicipta
Surah al-Nahl [ 16 ] : Ayat 20
Apabila
PK bertanya kepada peniaga tersebut mengapa dia membuat patung tersebut,
peniaga tersebut mengatakan bahawa patung tersebut digunakan sebagai perantara
untuk berhubung dengan Tuhan. Peniaga tersebut juga mengakui bahawa Tuhan boleh
mendengar permintaan seseorang walaupun tanpa menggunakan patung tersebut.
Perkara ini telah disentuh di dalam Al-Quran :
...وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ
أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى...
Ertinya :
Dan orang-orang yang mengambil selain Dia (
Allah ) sebagai sembahan berkata bahawa kami tidak menyembah mereka, tetapi
sekadar menjadikannya sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan
( Surah al-Zumar [ 39 ] ayat 3 )
Salah satu prinsip asas dalam ajaran Islam
ialah mentauhidkan Allah Taala. Segala harapan hanya ditujukan kepada Dia, dan
bukan melalui perantaraan seperti patung berhala dan sebagainya. Bagaimanakah
sesuatu yang dicipta, dapat mengabulkan permintaan orang yang menciptanya? Logik
ini pernah digunakan oleh Nabi Ibrahim ‘alaihi as-salam ketika berdialog dengan
bapanya yang bekerja sebagai pembuat patung berhala.
Sewaktu PK mahu keluar dari kuil tersebut
setelah dihalau oleh beberapa orang sami di situ kerana mempersoalkan mengapa
hajatnya tidak termakbul meskipun dia telah membayar wang, PK mendapati
seliparnya hilang. Fenomena ini adalah fenomena biasa yang sering berlaku di
mana-mana. Tidak sepatutnya seseorang yang pergi ke sesuatu tempat untuk
beribadah kepada Tuhan, pulang dengan melakukan dosa apabila mengambil harta
milik orang lain. Walau bagaimanapun, PK tidak bersikap pasif dalam situasi ini
apabila ditunjukkan bahawa dia mengunci seliparnya dengan mangga untuk
memastikan selipar itu tidak hilang dalam adegan lain. Idea untuk mengunci
selipar itu suatu idea yang baik, namun seharusnya rumah ibadat menjadi suatu
tempat yang selamat untuk seseorang penganutnya, dan bukan tempat yang penuh
dengan ketidakpastian.
PK kemudiannya dinasihatkan oleh polis agar
pergi ke gereja. Di situ dia berasa terkejut apabila mendapat tahu bahawa
mereka menyembah Tuhan yang telah mati mengorbankan dirinya sejak dua ribu
tahun yang lalu. Jika Tuhan telah mati, maka siapakah yang menguruskan dunia
ini?
Tuhan yang digambarkan dalam filem itu ialah
Jesus yang dianggap sebagai anak Tuhan menurut majoriti mazhab Kristian seperti
Roman Katolik. Dalam agama Islam Jesus ialah Nabi Isa ‘alaihi as-salam. Perlu
untuk saya jelaskan di sini bahawa bukan semua mazhab dalam Kristian menganggap
Jesus sebagai anak Tuhan. Antara yang tidak menganggap Jesus sebagai Tuhan
ialah golongan Unitarian seperti Arians. Walau bagaimanapun, aliran-aliran yang
tidak mengiktiraf ketuhanan Jesus dianggap sebagai aliran yang terpencil dan
tidak mewakili majoriti Kristian.
Tidak ada satu pun ayat di dalam Bible di mana
Jesus mengatakan :
“ I am God and worship me “
Sebaliknya, terdapat ayat dalam Bible sendiri
yang menunjukkan bahawa Jesus mengisyaratkan ketauhidan kepada Tuhan iaitu :
“ The most
important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear, O Israel: The Lord
our God, the Lord is one.
( Holy Bible, New International Version, Gospel of Mark, Bab 12, ayat nombor 29, halaman 718 )
Selepas itu, digambarkan bahawa PK pergi ke
beberapa tempat dan bertemu dengan pelbagai ajaran agama. Oleh sebab ada
pelbagai jenis Tuhan yang disembah oleh para penganutnya yang ditemui oleh PK,
dia berasa keliru untuk menentukan yang manakah Tuhan yang sebenar. Akhirnya PK
memutuskan untuk menyembah semua Tuhan yang ditemuinya mengikut cara para
penganut setiap ajaran tersebut. Di sini terlihat adanya unsur pluralisme.
Ditunjukkan beberapa babak di mana PK beribadah seperti para pengikut ajaran
tersebut. Pada pandangan saya, tidak perlu babak ibadah itu dilakukan oleh
Aamir Khan memandangkan bahawa beliau seorang yang beragama Islam dan Islam melarang
untuk para penganutnya beribadah menurut agama lain. Memadai babak itu
digantikan dengan adegan lain secara kreatif seperti menunjukkan PK berjalan
menuju ke tempat-tempat ibadah tersebut. Ini sudah mencukupi. Dalam
menghasilkan sesebuah karya, seorang Muslim itu wajib memastikan bahawa
tindakannya selaras dengan syariah dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun,
memandangkan filem ini dihasilkan oleh pihak-pihak yang bukan beragama Islam
majoritinya, tidak hairanlah unsur patuh syariah itu tidak dititik beratkan.
Dalam satu babak, dipaparkan bahawa orang
Islam beribadah dengan memukul-mukul badan sehingga berdarah. Sebenarnya ini
bukan ajaran Islam sama sekali. Para penonton yang tidak memiliki aspek
pengetahuan yang mendalam tentang Islam akan terkeliru. Ritual ini hanya
dilakukan oleh segelintir penganut Syiah, sebuah aliran yang dianggap
menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Bahkan sebahagian kecil ulama Syiah
sendiri menolak untuk mengaitkan ajaran mencederakan badan ini dengan aliran
Syiah.
Terdapat juga adegan yang menunjukkan para
wanita berpoligami dan dikaitkan dengan Islam. Poligami bukanlah menjadi suatu
kewajipan dalam Islam. Jumlah umat Islam yang tidak berpoligami jauh lebih
ramai tetapi dalam filem ini digeneralisasikan Islam itu dengan poligami.
Poligami itu bermaksud seseorang yang memiliki lebih daripada satu pasangan.
Poligami terbahagi kepada dua iaitu poligeni dan poliandri. Poligeni merujuk kepada
seorang lelaki yang memiliki lebih daripada satu pasangan manakala poliandri
merujuk kepada seorang wanita yang memiliki lebih daripada satu pasangan. Islam
tidak memperkenalkan poligami, tetapi Islam hanya memberikan peraturan untuk
mengurus poligami. Poligami telah wujud lama dalam sejarah. Jumlah isteri yang
boleh dipoligenikan oleh seorang suami tidak terbatas. Bangsa Rom purba telah
lama mengamalkan sistem ini dalam kehidupan mereka sebelum kelahiran Nabi Muhammad
sallahu ‘alaihi wa sallam. Syariat baginda membataskan poligeni kepada hanya
empat orang wanita bagi setiap lelaki dan tidak membenarkan poliandri. Itu pun,
poligeni tidak diwajibkan kepada semua lelaki.
Terdapat beberapa kritikan sosial yang
ditunjukkan dalam filem ini terhadap beberapa kepercayaan yang dikaitkan dengan
agama. Antaranya amalan berguling-guling menyembah Tuhan, memandikan patung
Tuhan dengan susu, menyembah batu yang diletakkan di bawah sepohon pokok dan
memberikan wang yang banyak kepada pemuka agama atas nama Tuhan. Penulis skrip
kelihatan cuba mempersoalkan di manakah logiknya semua amalan tersebut dan
apakah semua itu benar-benar kehendak Tuhan? PK akhirnya sampai kepada satu
kesimpulan bahawa mesej Tuhan telah salah diterima.
Sekiranya
para penonton memberhentikan tontonan di sini, mereka berkemungkinan akan
beranggapan bahawa Tuhan sebenarnya tidak wujud, seperti anggapan sebahagian atheis.
Para atheis menganggap Tuhan hanya rekaan manusia semata-mata. Apatah lagi digambarkan
bahawa para pemuka dalam kebanyakan agama itu ialah para penipu yang suka
berbohong demi kepentingan diri sendiri. Para pemuka agama itu menggunakan
perasaan takut dan keinginan manusia untuk terus mengawal para penganut agama
itu kekal mempercayai mereka.
Sekali lagi penulis skrip bermain dengan
generalisasi. Tidak dinafikan bahawa ada pemuka agama yang mengambil kesempatan
atas nama agama demi kepentingan diri sendiri. Namun pada masa yang sama, ramai
juga pemuka agama yang ikhlas dalam tindakannya. Tindakan hanya memfokuskan
kepada sebahagian pemuka agama yang bermasalah dan mengabaikan fakta bahawa ada
pemuka agama yang jujur memberi gambaran yang berat sebelah. Ibarat seekor
kerbau terkena lumpur, habis semuanya terpalit sama. Namun mungkin penulis
skrip cuba bermain dengan unsur ‘ exaggeration ‘ untuk menjadikan cerita itu
menarik.
Di penghujung cerita, ketika PK berdebat
dengan watak Tapasvi iaitu seorang pemuka agama yang tidak jujur, PK mengatakan
bahawa dia percaya bahawa ada dua jenis Tuhan. Tuhan yang pertama ialah Tuhan
yang benar-benar menciptakan manusia, manakala Tuhan yang kedua ialah Tuhan
yang dicipta oleh imaginasi manusia. Ini titik penting dalam filem ini yang
membezakan sama ada pembikin filem ini seorang atheis atau theis. Pengakhiran
filem ini menegaskan bahawa pembikin filem ini tetap meyakini bahawa Tuhan itu
wujud, cuma wujudnya mungkin bukan seperti yang digambarkan oleh sesetengah
pemuka agama yang dianggap seolah-olah wakil Tuhan di muka bumi. Cerita
berakhir dengan PK belajar untuk berbohong dari manusia di pengakhiran cerita
apabila menafikan cintanya terhadap Jaggu. ( Oh ya PK berjaya mendapat semula alat komunikasinya yang rupa-rupanya disimpan oleh Tapasvi dan pulang ke planet asalnya )
Bagaimanapun di sini letak kekurangan filem
tersebut kerana meletakkan falsafah Tuhan itu wujud, tapi tanpa agama. Di titik
inilah kita sebagai seorang Muslim perlu berlepas diri dari falsafah di sebalik
filem ini dan menegakkan ‘izzah sebagai seorang Muslim yang meyakini bahawa
Islamlah satu-satunya agama yang diredai oleh Tuhan sepertimana firman Allah
dalam Surah Ali Imran ayat 19. Jika tidak, kita akan terbuai dengan semua falsafah
yang cuba diserapkan dalam minda bawah sedar kita tanpa mengkritisi semula idea
yang cuba ditampilkan. Jika pembikin filem ini berani mengkritisi idea orang
lain, mengapa kita tidak boleh mengkritisi idea mereka semula, bukankah begitu?
Bagi sesetengah pihak, kritikan sosial di
dalam filem ini mungkin agak keras. Saya bersetuju bahawa sesetengahnya agak
keras, seperti adegan Lord Shiva, salah satu daripada unsur Trimurti dalam
agama Hindu yang digambarkan sebagai penakut sehingga terpaksa bersembunyi di
celah-celah kaki manusia. Saya tidak pasti apa perasaan seorang penganut agama
Hindu yang tegar apabila menonton adegan ini. Mungkin sebab itulah dikatakan
ada pihak yang berusaha untuk menghalang filem ini daripada terus ditayangkan
kerana dianggap menghina agama tertentu.
Pada pandangan saya, semua pihak wajar
mengambil iktibar dari penghasilan filem ini. Dari pihak pembikin filem,
barangkali boleh diusahakan sebuah skrip yang lebih lembut pengolahannya agar
tidak terlalu menyentuh sensitiviti dalam beragama. Pengolahan tersebut boleh
dilakukan dengan cara yang lebih kreatif.
Kepada para pemuka agama, wajar direnungkan
kenapa ada pihak yang sanggup menghasilkan filem seperti ini dan mengkritik
perilaku mereka. Penghasilan filem ini mungkin disebabkan oleh tindakan
segelintir ( bukan semua ) orang agama yang menyalahgunakan agama untuk
kepentingan peribadi. Tanpa pencanaian semula idea, orang ramai bisa menolak
terus kewujudan orang agama dalam kehidupan mereka.
Kepada umat Islam, apa jawapan kita terhadap
penghasilan filem seperti ini? Berpeluk tubuh dan bergoyang kaki bukan salah
satu daripadanya. Kita wajib bangkit untuk membetulkan beberapa persepsi keliru
yang wujud dalam filem ini, dan juga dalam filem-filem yang lain secara aktif. Watak
Sarfaraz iaitu seorang Muslim dalam filem ini digambarkan secara keliru.
Sarfaraz dipotretkan sebagai seorang yang jujur tetapi pada masa yang sama
tidak kisah untuk tidur dengan wanita berlainan agama sebelum berkahwin. Dia
juga bersedia untuk berkahwin dengan wanita tersebut di gereja. Caca marba
gambaran Islam yang ditampilkan. Bagaimana cara untuk membetulkan persepsi
tersebut? Antaranya dengan menghasilkan sebuah filem yang memberi gambaran
tentang Islam yang sebenar. Siapa yang perlu membikinnya? Kitalah. Siapa lagi?
PK tetap sebuah filem yang bagus dari sudut
tertentu dan memiliki kekurangan pula dari sudut tertentu. Ambil sudut positif
filem ini dan tolak sisi negatifnya. Penghasilan sebuah karya yang bermutu
berhajat kepada falsafah yang tersirat di sebalik penghasilannya. PK, bagi saya
memenuhi sebahagian besar kritirea tersebut.
:D
BalasPadamReview yang bagus. Bagi sape yang tak menonton filem PK, lepas baca review ni mesti cari filem ni untuk menontonnya. Hihi
BalasPadamTerima kasih sudi membaca ulasan ini :)
Padam