Saya sedang berkira-kira untuk menyiapkan penulisan beberapa buah
buku saya agar sempat diterbitkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015
nanti ketika berita tentang perginya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat
rahimahullah tersebar di media sosial. Ketika itu, jam belum lagi melepasi
10.00 malam. Mengambil sikap berhati-hati dengan berita yang tersebar, saya
menyemak kesahihan berita itu di beberapa sumber yang boleh dianggap
berautoriti. Setelah beberapa laman Facebook yang saya anggap boleh dipercayai
turut menyebarkan berita yang sama, barulah saya menulis status di laman Facebook
untuk menyatakan kedukaan yang dirasai.
Laman sosial dipenuhi dengan berita beliau. Ucapan istirja’, doa,
dan takziah bertebaran di mana-mana. Hampir segenap golongan baik ahli politik
atau non partisan, dari orang atasan hingga ke peringkat bawahan, kawan mahupun
lawan menyatakan perasaan dukacita mereka atas pemergian beliau. Ada yang tidak
pernah bertemu beliau langsung sepanjang hayatnya. Saya mengambil sedikit masa
untuk menulis sebuah puisi khusus untuk beliau. Tidak saya sangka, puisi itu
kemudian dikongsikan oleh ratusan orang di laman Facebook mereka.
Saya tidak melihat beliau dari sisi politik. Biarlah orang politik
yang membicarakannya. Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya melihat
beliau dari dimensi kemanusiaan. Dimensi yang mungkin dilupakan oleh segelintir
orang. Saya direzekikan untuk bertemu muka dengan beliau sekali. Rupa-rupanya
itulah pertemuan kami yang pertama dan terakhir.
Setelah menamatkan pengajian Sarjana Theologi Islam pengkhususan
Tafsir Hadis di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara ( IAIN SU ), saya
pulang ke Malaysia. Ijazah yang saya perolehi ini setara dengan Sarjana Muda
Usuluddin di Malaysia. Kini IAIN sudah bertukar nama kepada Universitas Islam
Negeri ( UIN ). Untuk mengisi waktu yang terluang, saya memilih untuk mengikuti
Daurah Pelajar Institut Pengajian Tinggi di Pondok Pasir Tumboh. Walaupun tempoh
daurah itu tidaklah terlalu lama, namun kerana daurah itulah saya berpeluang
untuk bertemu dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz. Ketika daurah itu diadakan, Tuan
Guru Haji Hashim, salah seorang pengasas Pondok Pasir Tumboh masih hidup.
Kebiasaannya Tuan Guru Nik Abd Aziz akan menyampaikan kuliah di Medan Ilmu Kota
Bharu pada setiap hari Jumaat. Kebetulan pada suatu pagi Jumaat semasa
berdaurah, ada waktu senggang. Tarikh pada hari itu ialah 17 Jun 2011. Saya dan
beberapa orang rakan yang menyertai daurah mengambil kesempatan itu untuk pergi
ke Medan Ilmu untuk mendengar kuliah Tuan Guru. Dengan berserban dan berkain
pelikat seperti para pelajar pondok yang lain, kami pergi dengan menaiki teksi
yang disewa secara berkongsi bayaran. Ramai juga pelajar Pondok Pasir Tumboh
yang turut ke sana.
Sesampainya di Medan Ilmu, kuliah sudah bermula. Kedengaran suara
penceramah menyampaikan butiran-butiran nasihat bergema melalui pembesar suara
yang dipasang memenuhi medan itu. Dari kejauhan, suara itu seperti suara Tuan
Guru Nik Abd Aziz, tetapi ada sedikit perbezaan. Ketika saya sedang meneka-neka
suara siapakah itu, seorang sahabat yang turut serta dalam daurah menyatakan
bahawa itu suara Tuan Ibrahim Tuan Man. Memang suara Tuan Ibrahim Tuan Man agak
mirip dengan suara Tuan Guru. Maklumlah, mereka memiliki talian persaudaraan.
Mungkin sebab itulah suara mereka hampir serupa.
Sejurus kemudian, ceramah berhenti. Di Medan Ilmu ini akan diadakan
dua sesi ceramah pada setiap minggu. Sesi pertama diisi oleh penceramah
jemputan. Sesi kedua akan diisi oleh Tuan Guru sendiri yang ketika itu masih
bergelar Menteri Besar Kelantan. Oleh sebab sedikit terlewat, kebanyakan ruang sudah dipenuhi oleh orang
ramai. Hanya ruang di atas pentas ceramah yang masih belum dipenuhi. Saya
mengambil tempat duduk di atas pentas bersama beberapa orang lain, berhampiran
dengan Tuan Guru. Jarak antara saya dan Tuan Guru mungkin tidak sampai dua
meter. Ceramah itu boleh ditonton di Youtube setelah dimuat naik sehari selepas
itu. Saya tidak ingat sama ada saya sempat bersalam atau tidak dengan beliau
sesudah ceramah.
Setelah daurah di Pondok Pasir Tumboh berakhir, saya dan sebahagian
rakan yang menyertai daurah merancang untuk ke Masjid Pulau Melaka. Rencananya,
kami akan menunaikan solat Subuh di masjid bersebelahan rumah Tuan Guru itu.
Kebiasaannya, Tuan Guru akan mengimamkan solat Subuh di situ dan memberi
sedikit tazkirah setiap hari jika beliau tidak ke mana-mana. Namun pada hari
itu, kami tidak direzekikan untuk bertemu dengan Tuan Guru. Beliau difahamkan
tidak berada di rumahnya ketika itu. Beberapa orang jemaah yang membawa
anak-anak mereka untuk ditahnik oleh Tuan Guru kelihatan hampa. Akhirnya anak
mereka ditahnik oleh salah seorang anak Tuan Guru. Saya tidak pasti siapa kerana
tidak begitu cam wajahnya.. Mungkin Ustaz Nik Abduh kerana beliau tinggal
bersama Tuan Guru.
Beberapa tahun kemudian, sekali lagi peluang untuk bertemu dengan
Tuan Guru menjelma. Kali ini Tuan Guru dijadualkan berucap di Konvensyen Fiqh
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam anjuran K-Fiqh, sebuah NGO yang diuruskan
oleh guru saya Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Konvensyen ini bertujuan
mendekatkan orang ramai dengan junjungan yang mulia, Rasulullah sallahu ‘alaihi
wa sallam. Namun Tuan Guru tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatannya tidak
mengizinkan.
Fikiran saya kembali mengimbas kenangan-kenangan tentang Tuan Guru
ketika berita pemergiannya terus menjadi topik hangat di mana-mana. Sesetengah orang
mungkin memiliki pandangan yang berbeza terhadap beliau dalam beberapa isu,
namun mereka masih menghormatinya. Cukuplah para hadirin yang hadir di hari
pengebumiannya menjadi saksi betapa kawan dan lawan hadir bersama untuk memberi
penghormatan terakhir.
Saiyyiduna Umar radiallahu ‘anhu ketika menerima berita tentang
kewafatan Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam seakan-akan sukar untuk menerimanya,
sehinggalah Saiyyiduna Abu Bakar radiallahu ‘anhu membacakan ayat 144 Surah Ali
Imran :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ
خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ
وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ
الشَّاكِرِينَ
Ertinya :
Dan Muhammad
itu tidak lain adalah seorang rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang
rasul. Apakah sekiranya dia mati atau terbunuh maka kamu akan berpatah balik ke
belakang? Sesiapa yang berpatah balik ke belakang maka seseungguhnya hal itu
tidak memberi mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan Allah akan memberi ganjaran
kepada orang-orang yang bersyukur
Tuan Guru telah pergi dengan meninggalkan legasinya. Biarlah beliau
berehat dengan tenang di sana. Kita yang tinggal ini akan meneruskan
perjuangannya. Perjuangan itu tidak semestinya dalam bidang politik. Kita boleh
berjuang dalam apa jua bidang, asalkan matlamatnya ialah untuk menegakkan agama
Allah yang tinggi ini. Sesekali mungkin kita tersalah membuat pilihan sepanjang
perjalanan, namun asalkan matlamatnya betul, kita akan sampai ke destinasi
Inna lillahi wa
inna ilaihi rajiiun
Allahummaghfirlahu
warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan