Sayup-sayup terdengar suara azan maghrib berkumandang di angkasa raya. Izzatun Najihah mengambil sebiji kurma ajwah yang telah disimpan dalam bekas makanan sebagai santapan berbuka puasanya pada hari ini. Sambil menyuakan kurma itu ke bibirnya, perlahan dia melafazkan doa yang diajar oleh junjungan Baginda s.a.w. :
ذَهَبَ
الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Ertinya
:
Kehausan telah hilang, kerongkong telah dibasahi
dan ganjaran pahala telah menanti Insya Allah.
“Doa
ini dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Abu Daud dalam kitabnya Sunan Abi Daud, bab al-Qaul ‘Inda Iftar.
Sanadnya sahih menurut Imam Daruquthni,”. Demikian kata guru hadisnya,
Ustaz Furqan di universiti tempat dia menadah ilmu dahulu.
Meskipun universiti yang terletak di utara tanah air tersebut tidaklah
segah mana, namun dia tetap bersyukur kerana di situlah dia berjaya
mengenggam segulung Ijazah dalam bidang Tahfiz wal Syariah dengan
kepujian kelas pertama.
Selesai berbuka puasa, dia
bergegas ke bilik air untuk berwudhuk, lantas bersiap-siap untuk
menunaikan solat maghrib. Niat di hatinya mahu ke masjid di hujung
kampungnya itu untuk menunaikan solat teraweh berimamkan Imam Afiq
Hakimi. Imam muda itu yang merupakan kenalan lamanya sejak kecil, baru
sahaja bertugas di kampungnya. Beliau baru pulang ke tanah air setelah
bertahun-tahun bermukim di Mesir kerana menuntut di Universiti
Al-Azhar, universiti yang telah melahirkan ramai graduan terkemuka
dunia. Di Malaysia sendiri, nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abd Rahim,
Mursyidul Am Parti Bulan dan Bintang serta Ustaz Fathul Majid dari Parti
Keris Semalaysia adalah lulusan universiti itu.
Suara
Imam Afiq Hakimi yang merdu itu menyentuh ke sanubarinya. Dengan
bersahaja imam muda itu melagukan ayat-ayat al-Quran dengan Tarannum
Jiharkah. Sebelum menunaikan solat, sempat beliau menitipkan pesan
kepada para jemaah agar merebut peluang untuk menghidupkan malam-malam
di bulan Ramadhan ini dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Al-Bukhari dalam kitab Sahih Al-Bukhari, bab Fadhlu Man Qama Ramadhan :
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا
تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Ertinya :
Sesiapa
yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap
keredhaan Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.
Usai berteraweh, Izzatun Najihah terus pulang ke rumah sewanya tanpa
berbasa-basi terlebih dahulu dengan jemaah yang sibuk menikmati moreh.
Kadang kala, ada yang tidak menunaikan solat teraweh secara berjemaah,
tapi sekadar datang ke masjid untuk menikmati jamuan yang disediakan.
Setibanya di rumah, matanya pantas mencari telefon bimbit miliknya.
Telefon tiga tiga sekupang itu pemberian Rektor Universitinya dulu,
Prof. Amru Alkaff sempena kecemerlangannya dalam akademik di hari
konvokesyennya. Telefon itu masih digunakan oleh dirinya, meskipun telah
bertahun lamanya dia mengorak langkah meninggalkan dunia pengajian
tinggi.
EPILOG
“ DANIEL
HAIKAL”
Itulah nama yang tertera di skrin telefonnya.
10 panggilan tidak berjawab. Dia masih ingat nama itu. Nama yang
menyimpan 1001 kenangan. Spontan fikirannya mengimbas peristiwa 5 tahun
yang lalu...
“Janganlah pipit bermimpi untuk menjadi
enggang. Andai kucing menumbuhkan tanduknya sekalipun, kami tidak akan
menerima kamu sebagai menantu kami. Darjat antara kita menjadi
pembeda,”. Tegas Datin Sabrina, ibu kandung Daniel Haikal. Dialog itu
kembali terngiang-ngiang di telinganya.
Danial Haikal
adalah bekas teman sepengajiannya di universiti dulu. Orangnya berada,
kacak, bersopan santun, dan sering menjadi sebutan di kalangan
teman-temannya sendiri kerana akhlaknya yang terpuji. Dengan kedudukan
kewangan bapanya yang kukuh, sebenarnya Daniel Haikal boleh memilih
apa-apa bidang pengajian yang disukai. Ditambah pula dengan keputusan
cemerlang yang diperolehinya dalam peperiksaan SPM dahulu. Namun entah
kenapa, bidang Tahfiz wal Syariah yang menjadi pilihannya.
“Bukan
kekayaan fizikal yang ana cari, tapi ketenangan jiwalah yang lebih
bererti. Dengan mempelajari ilmu agama, ana menemui apa yang ana cari
selama ini,”. Lembut lidah Daniel Haikal menuturkan ketika ditanya oleh
Ustaz Furqan di hadapan kelas suatu ketika dahulu.
Dalam diam-diam, rupa-rupanya pemuda itu tertarik hati dengan Izzatun
Najihah. Bukannya tidak ada gadis lain yang lebih cantik, namun ada
sesuatu pada gadis itu yang meruntun naluri kelelakiannya.
تُنْكَحُ
الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا
وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Ertinya
:
Seseorang wanita itu dinikahi kerana 4 perkara ;
Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana
agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya dirimu akan beruntung.
“Saya
memilih Najihah kerana agama yang ada padanya,”. Yakin nada Daniel
Haikal menuturkan ayat tersebut setelah terlebih dahulu dia membacakan
hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, bab
Istihbab An-Nikah Zat Al-Din itu.
Itulah jawapan yang
diberinya kepada ibu Izzatun Najihah ketika dia dengan beraninya
mengambil langkah untuk bertemu dengan keluarga si gadis untuk
menyampaikan hasrat hatinya. Memang itu yang disyaratkan oleh Izzatun
Najihah kepada Daniel Haikal melalui perantaraan Ustaz Furqan jika dia
benar-benar menaruh hati kepada gadis itu. Izzatun Najihah mahu
perhubungan mereka dijalinkan di atas dasar syariat. Hanya ibunya
satu-satunya ahli keluarga yang dimiliki oleh Izzatun Najihah yang
merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Bapanya telah lama menemui
Sang Pencipta tatkala dia masih kecil lagi.
“Mak cik tiada
halangan sekiranya Daniel berniat ikhlas kepada Najihah. Namun, adakah
keluarga Daniel sudah mengetahui hasrat Daniel untuk menyunting
Najihah?”. Ungkapan dari ibu Izzatun Najihah menyentak hati Daniel
Haikal yang tadinya berbunga-bunga dengan harapan.
Ternyata, apa yang dibimbangkan oleh si ibu menjadi kenyataan. Hasrat
Daniel Haikal ditentang keras oleh keluarganya. Hubungan yang dijalin
tanpa restu orang tua, pasti tiada pula keberkatannya di sisi Yang Maha
Esa. Kemuncaknya, Datin Sabrina sendiri menemui Izzatun Najihah dan
ibunya di rumah mereka lantas mengungkapkan kata-kata yang
terngiang-ngiang kepada dirinya tadi. Sambil mendengus marah, beliau
beredar meninggalkan mereka dalam keadaan terpinga-pinga. Ibunya yang
terlalu terkejut dengan kejadian itu, lantas mengalami serangan jantung.
“Mak,
jangan tinggalkan Najihah mak... Najihah dah tiada sesiapa lagi di
dunia ini selain emak,”. Ujar Najihah dengan linangan air mata sambil
memangku ibunya yang rebah tiba-tiba.
Dada si ibu
turun naik mengikut pergerakan nafasnya yang tidak lagi menentu. Matanya
pejam celik menahan kesakitan yang menusuk di jantungnya. Ambulans
sudah dihubungi, namun entah bila waktunya akan sampai ke destinasi.
“Najihah...”.
Si ibu cuba menggagahkan suara.
“Ya mak, Najihah di
sini...”. Air matanya bercucuran tidak henti-henti. Tidak mampu dia
menahan sebak melihat ibunya bertarung nyawa di depan matanya sendiri.
“Apa
pun yang terjadi, jangan tinggalkan solatmu nak... Dan maafkanlah
mereka yang menyakiti hatimu di dunia ini... Sesungguhnya Allah itu Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang,”. Lemah suara ibunya menuturkan
kata-kata tersebut.
“La Ilaha Illa Allah...”. Usai
menuturkan kalimah tahlil, perlahan-lahan kelopak matanya ditutup.
Dadanya tidak berombak lagi...
“Inna lillahi wa Inna
Ilaihi Rajiiun...”. Sayu hati Najihah menahan hiba. Kini tinggallah
dirinya sebatang kara menongkah arus kehidupan yang penuh onak duri.
Mungkinkah sang mentari akan kembali bersinar di dalam hidupnya?
MENCARI NUR ILAHI
Itu kisah 5 tahun yang
lalu. Semenjak peristiwa itu, tidak pernah lagi dia mengetahui sebarang
berita tentang Daniel Haikal. Sengaja dia menjauhkan diri. Terakhir
kali, dia mendengar bahawa Daniel Haikal telah pun berkahwin dengan
pilihan Datin Sabrina sendiri. Walaupun Izzatun Najihah tertarik dengan
keikhlasan Daniel Haikal yang bersungguh-sungguh untuk mempersunting
dirinya, namun baginya keredhaan orang tua lebih utama. Apalah ertinya
menganyam kasih di atas lautan yang bergelora? Bukankah syariat Islam
itu yang lebih utama? Lantas dipujuk jiwanya yang muda. Dibalut lukanya
dengan air mata. Kepada Ilahi lah diajukan segala duka dan sengsara.
Andai resah menggamit hatinya, pasti dia teringat kepada nasihat Ustaz
Furqan kepada dirinya setelah gurunya itu mengetahui konflik yang
terjadi.
”Jangan ditangisi apa yang bukan milikmu Najihah.
Manusia hanya mentadbir, dan Allah lah yang menentukan takdir. Setiap
sesuatu yang berlaku itu pasti tersirat hikmahnya,”. Lantas beliau
membacakan ayat 216 surah al-Baqarah [2] :
كُتِبَ
عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا
شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ
لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Ertinya
:
Diwajibkan berperang ke atas kamu sedangkan kamu
tidak menyukainya. Dan mungkin kamu tidak menyukai sesuatu sedangkan
perkara itu baik bagi kamu. Dan mungkin juga kamu menyukai sesuatu
sedangkan perkara itu buruk bagi kamu. Dan Allah lah yang Maha
Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya.
Memang banyak hikmahnya peristiwa pahit itu. Kini hari-harinya ditemani
dengan qiyam al-lail yang istiqamah. Bukan dia tidak pernah
mengerjakannya sebelum ini, cuma tidak konsisten dia melakukannya dek
kesibukan mengejar urusan dunia. Al-Quran yang dulu hanya dibuka untuk
dihafaz kandungannya, kini mula ditadabburi maknanya. Kitab Fathul Bari
karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani As-Syafie yang mensyarahkan kitab Sahih
Bukhari, kini menjadi peneman malamnya. Masa-masa senggangnya terisi
dengan kerja-kerja kebajikan di rumah anak-anak yatim. Dia sendiri dalam
diam-diam mula berasa seronok dengan perubahan dirinya.
Tiba-tiba
satu sms menerjah masuk ke telefonnya.
“Assalamualaikum.
Maafkan ana kerana mengganggu. Ana cuma ingin memberi perkhabaran. Ibu
ana berada dalam keadaan kronik sekarang di Hospital Pulau Mutiara.
Beliau mengalami komplikasi hati di tahap yang kritikal dan memerlukan
penderma hati bagi menggantikan hatinya yang telah rosak. Namun setakat
ini masih tiada penderma yang sesuai. Jika sesuatu menimpa ibu ana, ana
harap anti boleh memaafkan kesalahan ibu ana pada anti dan ibu anti
dahulu. Wassalam,”.
Bergetar jiwanya menerima sms dari
Daniel Haikal itu. Tidak pernah dia berdendam dengan Datin Sabrina
sekeluarga di atas apa yang terjadi. Memaafkan, namun tidak bererti
melupakan. Kadang kala terasa luka di hatinya masih berdarah meskipun
puas sudah dia membalutnya.
Diam-diam, satu keputusan
getir dilakukan. Selesai menunaikan 2 rakaat solat istikharah pada malam
itu, Najihah semakin yakin dengan keputusannya. Keesokannya dia
bergegas ke lapangan terbang untuk bertolak ke utara tanah air. Tiket
kapal terbang telah ditempahnya secara dalam talian. Pada saat ini
terasa bermanfaatnya teknologi jika digunakan ke arah kemaslahatan.
HARGA
SEBUAH KEIKHLASAN
Di Hospital Pulau Mutiara,
keluarga Datin Sabrina menerima perkhabaran yang tidak disangka-sangka.
Ada penderma yang tidak dikenali telah bersetuju untuk mendermakan
hatinya kepada Datin Sabrina yang mengidap penyakit ‘alcoholic
cirrhosis’ akibat gaya hidupnya yang sering bertemankan air kencing
syaitan itu. Syaratnya, identitinya dirahsiakan. Kebetulan, setelah
beberapa ujian dan penyelidikan dilakukan, terdapat keserasian antara
hati penderma dan penerima. Hal ini boleh dikatakan suatu keajaiban
kerana amat sukar untuk mencari penderma hati yang sesuai, tambahan pula
jika si penderma tiada hubungan darah dengan si penerima. Birokrasi
juga menjadi penghalangnya. Lihat sahaja kisah Ahmad Khariri Al Hadi
dengan adik Mohd Yohit Mohd Farhan yang pernah tersiar di dada-dada
akhbar dulu. Hasrat murni Ahmad Hariri untuk membantu si kecil yang
malang itu, nyaris tidak kesampaian dek birokrasi yang menyulitkan.
Natijahnya, si pesakit meninggal dunia, dan si penderma pula yang
menanggung derita hingga ke hari ini. Mujurlah ayah Daniel Haikal, Dato’
Rustam Ali mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Kesihatan Negara,
Dato’ Lee Chong Wei. Kerenah birokrasi dapat diatasi dengan mudahnya.
Proses pemindahan hati berjalan lancar. Beberapa hari selepas
pembedahan, Datin Sabrina sudah dibenarkan pulang ke rumahnya.
Pengalaman di ambang maut rupa-rupanya menerbitkan keinsafan di hati
kecil Datin Sabrina. Beliau mula mencari tikar sejadah yang terakhir
kali disentuhnya ketika masih anak hingusan dahulu. Azam di diukir untuk
meninggalkan gaya hidupnya yang kebarat-baratan hingga menyebabkan
dirinya terlantar di rumah sakit. Terdetik di hatinya untuk mengenali
siapakah gerangan insan yang begitu mulia melakukan pengorbanan, namun
tidak mahu namanya diagung-agungkan. Masih wujudkah insan seperti ini di
dunia yang dikuasai oleh falsafah Marxisme?
Kepada
anaknya Daniel Haikal, diminta untuk merisik identiti si penderma. Niat
Datin Sabrina cuma satu, mahu memberikan penghargaan kepada insan yang
membolehkan dirinya kembali berjejak di bumi ciptaan Sang Khaliq dan
mensyukuri nikmat-nikmatnya yang diberikan secara percuma. Puas dirisik,
akhirnya Daniel berjaya menemui rahsia si penderma yang dicari.
Alangkah terkejutnya dia apabila mengetahui siapakah sebenarnya orang
itu. Itupun dengan bantuan Dato’ Lee Chong Wei. Ternyata kuasa yang
dimiliki oleh seseorang bisa menukarkan langit menjadi bumi dan begitu
juga sebaliknya. Alangkah bermanfaatnya jika kuasa yang dimiliki itu
semakin mendekatkan pemiliknya dengan Yang Maha Berkuasa.
“Najihah?!”.
Tergamam seketika Datin Sabrina mendengar perkhabaran dari Daniel
Haikal tersebut. Tidak disangkanya insan yang pernah dihinanya suatu
ketika dahulu, kini menjadi insan yang telah menyelamatkan nyawanya
bertahun-tahun kemudian.
“Sudahkah kamu menghubungi dia
Daniel?”. tanya Datin Sabrina dengan perasaan ingin tahu yang
bergejolak.
“Belum berjaya emak. Nombor telefon lamanya
tidak dapat dihubungi kerana sudah tiada dalam perkhidmatan,”. Jawapan
yang diberikan oleh Daniel ternyata tidak dapat meredakan perasaan Datin
Sabrina.
“Begini sahajalah Daniel. Kamu tahu alamatnya
bukan? Di pagi hari raya nanti mari kita sekeluarga bersama-sama ke
rumahnya di selatan tanah air itu. Kita raikan lebaran dengan Najihah.
Dia pun hanya tinggal sebatang kara. Emak ingin meminta maaf di atas
kesalahan emak kepadanya selama ini,”. Akhirnya Datin Sabrina membuat
keputusan yang dirasakannya sebagai jalan keluar terbaik pada saat itu.
Dato’ Rustam Ali hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.
Wardatus Safiyyah, isteri Daniel Haikal yang dari tadi mendengar
perbualan antara suaminya dan keluarganya mendengus kecil. Ada rona-rona
cemburu di wajahnya.
BERAKHIRNYA SEBUAH HIKAYAT
Hari yang dinanti tiba jua. Lebaran tahun ini disambut dengan berbeza
oleh keluarga Datin Sabrina. Awal-awal lagi mereka telah menempah tiket
pesawat ke selatan tanah air pada malam terakhir Ramadhan. Wang tidak
pernah menjadi masalah kepada keluarga mereka. Namun adik-beradik Daniel
Haikal yang lain agak keberatan untuk ke sana kerana masing-masing
telah berkeluarga. Jadi hanya Datin Sabrina, Dato’ Rustam Ali, Daniel
Haikal dan isterinya yang menaiki pesawat. Setibanya di lapangan
terbang, mereka terus menuju ke hotel untuk merehatkan diri. Keesokan
harinya, selesai menunaikan solat subuh, mereka menyewa teksi menuju ke
kampung asal Najihah.
Dari jauh kedengaran gema takbir
sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di perkampungan yang dituju.
Memang mereka sekeluarga telah mengambil keputusan untuk menunaikan
solat hari raya di masjid kampung itu sahaja.
Selesai
sahaja khutbah Aidilfitri disampaikan, orang ramai berpusu-pusu keluar
dari masjid. Ada juga yang tidak menunaikan solat sunat Aidilfitri,
sebaliknya menghisap rokok dibawah pokok sambil bergelak tawa sesama
mereka. Keluarga Datin Sabrina pun menyusur jalan untuk ke rumah Najihah
yang terletak tidak jauh dari perkarangan masjid.
Rumah yang dituju kelihatan sunyi sepi sepi. Tiada tanda-tanda
penghuninya bersedia menyambut tetamu yang datang sebagaimana lazimnya
hari raya. Segalanya kosong bagaikan tidak berpenghuni. Puas Daniel
Haikal mengucapkan salam, namun tidak berjawab. Mungkinkah penghuninya
telah berhijrah ke destinasi baru pula?
“Marilah kita
pulang sahaja abang. Apalah yang bagus sangat dengan si Najihah ini?”.
Getus Wardatus Safiyyah. Sayang, akhlaknya tidak seindah namanya.
Namanya pun perempuan. Cemburunya sukar dihilangkan biarpun Daniel
Haikal telah menjadi miliknya yang sah. Tambahan pula dia berasal dari
keluarga berdarah diraja. Memang sifat ego dan bongkak telah menjadi
darah dagingnya. Kadang-kadang terdetik rasa menyesal di hati Datin
Sabrina menjodohkan anaknya dengan Wardatus Safiyyah. Namun apakan daya,
terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku sesal padahnya. Mujurlah
Daniel Haikal banyak berkompromi dengan kerenah isterinya. Ternyata
didikan agama itu bisa membentuk akhlak yang mulia.
Kebetulan Imam Afiq Hakimi melalui jalan itu untuk pulang ke rumah.
Memang dia sering berjalan kaki sahaja untuk pergi dan pulang ke masjid
yang hanya terletak sepelaung dari rumahnya. Apabila dia ternampak
keluarga Datin Sabrina di perkarangan rumah Najihah, tergerak di hatinya
untuk bertegur sapa. Gerangan apakah yang dicari di rumah yang sudah
tidak berpenghuni?
“Jadi kamulah Daniel Haikal?”. Ujar
Imam Afiq Hakimi selesai Daniel Haikal menerangkan tujuan kedatangan
mereka ke situ.
Akhirnya bertemu juga mereka setelah
sebelum ini dia hanya mendengar namanya sahaja dari bibir Izzatun
Najihah. Memang dulu dia pernah menaruh harapan kepada Najihah. Tambahan
pula mereka sekampung dan saling kenal-mengenali sejak kecil. Namun
pemergiannya ke Mesir menyebabkan dia memendamkan perasaan itu buat
seketika. Setelah dia kembali ke tanah air, Izzatun Najihah pula
mengungkapkan melalui ibunya bahawa hatinya telah dimiliki. Daniel
Haikal empunya nama. Begitulah permainan cinta dunia. Sukar ditebak ke
mana arahnya.
“Sebenarnya, Izzatun Najihah telah meninggal
dunia beberapa hari yang lalu. Dia meninggal kerana komplikasi
pembedahan hati yang dijalankan. Dia mendapat jangkitan kuman dan doktor
pula tidak dapat mengesannya dari awal. Jenazahnya disemadikan di
perkuburan kampung ini. Mari saya bawa kamu sekeluarga ke sana.”
Perlahan Imam Afiq Hakimi menuturkan peristiwa hiba yang terjadi. Dia
sendiri yang mensolatkan jenazah Izzatun Najihah dan menguruskan
pengebumiannya.
Berita yang diterima itu ibarat
halilintar menyambar ke sanubari Datin Sabrina. Air matanya berlinangan
mengenangkan kemuliaan hati Najihah yang telah mengorbankan nyawanya
sendiri demi orang yang pernah menghinanya. Terpaksa pula Wardatus
Safiyyah menenteramkan ibu mertuanya itu. Hatinya turut tersentuh dengan
pengorbanan Najihah. Walaupun dirinya tidaklah sebaik mana, namun di
hati Wardatus Safiyyah masih terselit sekelumit sifat peri kemanusiaan.
Demikianlah manusia, sekeras-keras hatinya yang hitam diselaputi dosa,
masih ada warna putih yang tersisa.
Setibanya di tanah
perkuburan, kelihatan ramai orang turut menziarahi kubur-kubur di situ.
Al maklumlah hari raya. Sudah menjadi adat penduduk di Malaysia untuk
menziarahi kubur sanak saudara. Seolah-olah hari yang lain tidak perlu
menziarahi kubur pula. Imam Afiq Hakimi menunjukkan di mana kubur
Izzatun Najihah berada. Dia kemudian meminta izin untuk pulang ke
rumahnya sebentar. Ingin mengambil sesuatu katanya.
WARKAH
UNTUK SEORANG TEMAN
Dato’ Rustam Ali diam
tidak terkata. Daniel Haikal kebingungan memikirkan berita yang
diterima. Perlahan Imam Afiq Hakimi menghampiri dari kejauhan seraya
menghulurkan sepucuk surat yang disimpan di sakunya. Sempat dia
mengambil surat itu di rumahnya tadi. Surat bertulisan tangan itu
dititipkan kepadanya oleh Izzatun Najihah sebelum gadis itu
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Warkah untuk Daniel Haikal.
Terketar-ketar tangan Daniel Haikal menyambut surat yang dihulurkan
oleh Imam Afiq Hakimi. Fikirannya berkecamuk. Perlahan-lahan dia
membacanya...
Assalamualaikum wa rahmatullahi
wabarakatuh...
Sahabatku yang kukasihi,
Andai dirimu menerima warkah ini, maka ketahuilah bahawa diriku telah
tiada lagi di dunia yang fana ini. Pergiku mengadap Ilahi, Yang Maha
Pengasih lagi Maha Menyayangi.
Andai di antara
kita pernah ada kisah yang tercipta, maka di sinilah penghujung jalan
cerita. Jangan disesali takdir yang menimpa, kerana di sana pasti ada
hikmahnya.
Andai ada hati yang terluka, maka
maafkanlah sahabatmu ini yang tidak sempurna. Sesungguhnya diriku
hanyalah insan biasa, kadang kala hanyut di arus noda.
Tiada sengketa antara kita, walau hidup ini pernah berendam air mata.
Kemaafan kuberi tanpa dipinta, kepada dirimu dan juga bonda.
Daku mendoakan dirimu bahagia, di samping pilihanmu yang lebih
sempurna. Hargailah dia seadanya, kerana itulah takdir Allah yang
tersurat di azali-Nya. Andai tiada jodoh kita di dunia, daku kan menanti
dirimu di akhirat sana...
Daku mengasihimu
kerana agamamu, andainya hilang agamamu, maka hilanglah kasihku.
Kita bertemu kerana Allah, kita berpisah jua kerana-Nya.
Sekian,
Wassalam.
Bergenang air mata di pelupuk Daniel Haikal tatkala dia sampai ke
kalimah terakhir surat itu. Ada pilu yang bertandang di hatinya. Namun
dia sedar, inilah takdir dari Allah Taala yang harus diterima dengan
berlapang dada. Andainya kita mencintai makhluk, maka sesungguhnya
makhluk akan binasa. Maka cintailah Sang Khaliq, kerana Dia kekal
selama-lamanya.
Sayup-sayup terdengar takbir
dilaungkan di masjid memecahkan keheningan pagi. Takbir yang bergema,
seolah-olah ingin turut menyatakan kepiluan di atas pemergian Izzatun
Najihah ke hadhrat Ilahi. Takbir yang agung, takbir yang suci, takbir
untuk Najihah..........
Hasil Nukilan : Izwan Al
Hakim
HAK CIPTA TERPELIHARA ©
Cerpen mnarik..tp nama watak2 lawak..pmain bdminton ada..ahli politik pn ada.
BalasPadamNama watak-watak itu memang disengajakan... Kerana cerpen ini sebenarnya sebuah satira...
Padam^_^