Jumaat, 12 April 2013

Kahwin Awal Vs Kahwin Lambat








" Kita patut galakkan anak-anak muda sekarang bernikah awal, " seorang pemuda yang berusia di awal dua puluhan memulakan bicara.

" Saya tidak setuju. Biarlah mereka mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam rumah tangga, " balas seorang lelaki berusia awal empat puluhan.

Dahinya kelihatan berkerut sedikit.

" Tetapi zaman sekarang ini zaman fitnah, dugaan di sana sini. Apabila perkara yang halal menjadi sukar, manusia akan mencari jalan keluar yang mudah, " pemuda tersebut berhujah, memberikan justifikasinya.

" Ramai juga yang bernikah awal ini akhirnya bercerai-berai. Mereka sebenarnya belum bersedia untuk mengecapi realiti alam rumah tangga. Tanpa persediaan, tangga yang ingin dibina menjadi begitu rapuh untuk dinaiki, " lelaki dewasa tadi memberikan pandangannya.

Pengalaman yang dilaluinya banyak mengajarnya erti kehidupan yang kadangkala pahit untuk ditelan.

" Tapi ramai juga pasangan yang bernikah muda itu kekal hingga ke akhir hayat mereka bukan? " tanya si  pemuda. Kali ini nadanya tidak serancak tadi.

Ada benarnya juga kata-kata lelaki dewasa itu.

Hati pemuda itu berbisik.

Lelaki dewasa itu pula terdiam.

Dia tidak dapat menidakkan fakta yang diberikan oleh si pemuda tadi.

Seorang tua yang semenjak tadi mendengar sahaja perbualan di antara mereka berdua mencelah.

" Bernikah di usia muda atau bernikah di usia yang agak dewasa masing-masing ada kelebihannya yang tersendiri, " ujarnya dengan nada yang lembut.

" Ada situasi yang memerlukan seseorang itu bernikah lebih awal. Ada situasi yang memerlukan seseorang itu bernikah sedikit lewat. Kita tidak boleh menetapkan status hal ini secara umum. "

" Ada orang yang sudah memiliki calon yang diminati. Keluarga kedua-dua belah pihak pun tidak ada apa-apa halangan. Apa salahnya mereka bernikah di usia muda? Tambahan pula di zaman ini, banyak dugaan yang menguji keimanan seseorang," orang tua itu memberi penjelasan.

Si pemuda terangguk-angguk.

Lelaki dewasa itu membatukan diri.

Menunggu huraian lanjut.

" Ada orang pula masih belum bersedia. Mungkin dia masih belum mendalami ilmu rumah tangga dengan secukupnya. Jika dia terus terjun ke alam rumah tangga, maka porak perandalah mahligai indah yang diimpikan itu. Maka orang seperti ini tidaklah perlu didesak untuk menyegerakan perkahwinan, " sambung orang tua itu penuh hikmah dalam bicaranya.

" Jadi maksudnya, kita harus mengambil sikap seperti ini dalam semua keadaan? Tidak kisah jika perlu berkahwin awal, tidak pula menjadi masalah jika berkahwin lewat, " si anak muda bertanya.

" Bukan begitu. Jika demikian, fikrah kita yang tidak jelas, " orang tua itu tersenyum.

" Utamakanlah untuk berkahwin awal jika tidak ada apa-apa halangan. Namun jika ada alasan-alasan yang munasabah, tidak ada salahnya kita melewatkan sedikit perkahwinan itu sehingga kita benar-benar bersedia, "

" Oh, begitu. Fahamlah saya sekarang, " lelaki dewasa tadi akhirnya bersuara.

" Yang penting kita mesti bersangka baik terhadap orang lain. tidak kira sama ada mereka berkahwin awal, berkahwin lambat, atau tidak bernikah sekali pun. Barangkali di sana ada sesuatu hal yang tidak kita ketahui, "

Ketiga-tiga mereka tersenyum. Pertemuan petang itu telah mencambahkan pemikiran sesama mereka.


^_^





Tiada ulasan:

Catat Ulasan