Sabtu, 10 Januari 2015

PK : Sebuah Kritikan Sosial Terhadap Kehidupan Beragama

Sumber : Wikipedia


Saya bukanlah peminat filem Hindustan. Walau bagaimanapun kegemaran saya ialah untuk mengambil tahu tentang banyak perkara agar saya cakna dengan sesuatu isu. Kegemaran ini menyebabkan saya membaca dan mencari maklumat tentang hampir semua perkara yang termampu untuk dihadami dan dianalisis secara kritis. Hal itu termasuklah mengapa Manchester United gagal memenangi Liga Perdana di bawah bimbingan David Moyes, siapakah calon Perdana Menteri Malaysia selepas YAB Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak, serta mengapa Zizan tidak berpasangan dengan Johan dalam Maharaja Lawak Mega 2015. Kali ini, isunya ialah sebuah filem yang telah menjadi filem terlaris dalam sejarah perfileman Bollywood di India setakat ini dengan menyentuh sebuah topik yang kontroversi iaitu agama.

            Aamir Khan ialah salah seorang aktor daripada tiga orang aktor paling berpengaruh di Bollywood. Dua orang aktor lagi ialah Salman Khan dan Shah Rukh Khan. Aamir sering digelar sebagai Ace Khan, Salman pula dikenali sebagai Blockbuster Khan, dan Shah Rukh digelar sebagai King Khan. Ketiga-tiga mereka telah merajai Bollywood selama lebih dua puluh tahun.

            Aamir Khan dikenali sebagai Mr Perfectionist, seorang yang mementingkan kesempurnaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau begitu berhati-hati dalam memilih filem yang akan dilakoninya. Beliau cuba lari dari tema klise filem Bollywood iaitu cinta. Ada beberapa buah filemnya yang saya kira memiliki mesej yang agak baik seperti Taree Zameen Par dan 3 Idiots. Taree Zameen Par mengisahkan tentang seorang guru yang berhadapan dengan seorang pelajar disleksia. 3 Idiots pula berkisar tentang kritikan terhadap sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. 3 Idiots pernah memegang rekod sebagai filem Bollywood yang paling laris di India selama hampir 4 tahun sebelum rekod itu dipecahkan oleh Chennai Express lakonan Shah Rukh Khan. Rekod Chennai Express itu kemudiannya dipecahkan semula oleh filem Dhoom 3 lakonan Aamir dalam tahun yang sama. Kini, Aamir Khan memcahkan rekodnya sendiri apabila jumlah kutipan PK sudah melebihi jumlah kutipan Dhoom 3.

            PK menceritakan tentang seorang ( atau seekor? ) makhluk asing yang datang ke bumi untuk mempelajari tentang manusia. Watak PK dijayakan oleh Aamir Khan. PK bermaksud mabuk. PK tidak dapat kembali ke planet asalnya kerana alat komunikasi untuk menghubungi kapal angkasanya dicuri oleh manusia. Apabila PK cuba untuk mencari semula alat komunikasi tersebut, manusia-manusia yang ditemuinya mengatakan bahawa hanya Tuhan yang dapat membantunya. Tetapi PK menjadi keliru apabila mendapati manusia menyembah pelbagai jenis Tuhan.

            Di planet PK, mereka berkomunikasi dengan menggunakan sentuhan. Justeru, tiada ruang untuk berbohong. Ini menyebabkan PK berasa hairan apabila manusia sering bercakap sesuatu yang berbeza dengan apa yang sebenarnya mereka rasakan. Ini suatu aspek kritikan yang saya persetujui dalam dalam filem ini. Memang benar bahawa kejujuran semakin sukar untuk ditemui di zaman ini. Manusia lebih gemar untuk bersilat lidah memutar rasa.

            Percubaan PK untuk mencari Tuhan yang boleh membantunya mencari alat komunikasinya telah menemukannya dengan pelbagai agama. Pada mulanya PK menyangka bahawa hanya ada satu Tuhan di dunia ini. PK pergi ke kuil Hindu. Di sana salah seorang peniaga menjual sebuah patung Tuhan kepada PK. PK berasa hairan apabila mendapat tahu ada pelbagai jenis patung Tuhan yang berbeza saiz dan patung itu dibuat sendiri oleh peniaga tersebut. PK bertambah hairan apabila patung yang dibelinya tidak dapat menunaikan hajatnya. Hal ini mengingatkan saya kepada ayat Al-Quran yang berikut :

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ

Ertinya :
Dan apa-apa yang mereka seru selain Allah itu tidak mencipta sesuatupun bahkan mereka itulah yang dicipta

Surah al-Nahl [ 16 ] : Ayat 20

            Apabila PK bertanya kepada peniaga tersebut mengapa dia membuat patung tersebut, peniaga tersebut mengatakan bahawa patung tersebut digunakan sebagai perantara untuk berhubung dengan Tuhan. Peniaga tersebut juga mengakui bahawa Tuhan boleh mendengar permintaan seseorang walaupun tanpa menggunakan patung tersebut.
Perkara ini telah disentuh di dalam Al-Quran :

...وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى...

Ertinya :

Dan orang-orang yang mengambil selain Dia ( Allah ) sebagai sembahan berkata bahawa kami tidak menyembah mereka, tetapi sekadar menjadikannya sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan

( Surah al-Zumar [ 39 ] ayat 3 )

Salah satu prinsip asas dalam ajaran Islam ialah mentauhidkan Allah Taala. Segala harapan hanya ditujukan kepada Dia, dan bukan melalui perantaraan seperti patung berhala dan sebagainya. Bagaimanakah sesuatu yang dicipta, dapat mengabulkan permintaan orang yang menciptanya? Logik ini pernah digunakan oleh Nabi Ibrahim ‘alaihi as-salam ketika berdialog dengan bapanya yang bekerja sebagai pembuat patung berhala.

Sewaktu PK mahu keluar dari kuil tersebut setelah dihalau oleh beberapa orang sami di situ kerana mempersoalkan mengapa hajatnya tidak termakbul meskipun dia telah membayar wang, PK mendapati seliparnya hilang. Fenomena ini adalah fenomena biasa yang sering berlaku di mana-mana. Tidak sepatutnya seseorang yang pergi ke sesuatu tempat untuk beribadah kepada Tuhan, pulang dengan melakukan dosa apabila mengambil harta milik orang lain. Walau bagaimanapun, PK tidak bersikap pasif dalam situasi ini apabila ditunjukkan bahawa dia mengunci seliparnya dengan mangga untuk memastikan selipar itu tidak hilang dalam adegan lain. Idea untuk mengunci selipar itu suatu idea yang baik, namun seharusnya rumah ibadat menjadi suatu tempat yang selamat untuk seseorang penganutnya, dan bukan tempat yang penuh dengan ketidakpastian.

PK kemudiannya dinasihatkan oleh polis agar pergi ke gereja. Di situ dia berasa terkejut apabila mendapat tahu bahawa mereka menyembah Tuhan yang telah mati mengorbankan dirinya sejak dua ribu tahun yang lalu. Jika Tuhan telah mati, maka siapakah yang menguruskan dunia ini?

Tuhan yang digambarkan dalam filem itu ialah Jesus yang dianggap sebagai anak Tuhan menurut majoriti mazhab Kristian seperti Roman Katolik. Dalam agama Islam Jesus ialah Nabi Isa ‘alaihi as-salam. Perlu untuk saya jelaskan di sini bahawa bukan semua mazhab dalam Kristian menganggap Jesus sebagai anak Tuhan. Antara yang tidak menganggap Jesus sebagai Tuhan ialah golongan Unitarian seperti Arians. Walau bagaimanapun, aliran-aliran yang tidak mengiktiraf ketuhanan Jesus dianggap sebagai aliran yang terpencil dan tidak mewakili majoriti Kristian.

Tidak ada satu pun ayat di dalam Bible di mana Jesus mengatakan :

“ I am God and worship me “

Sebaliknya, terdapat ayat dalam Bible sendiri yang menunjukkan bahawa Jesus mengisyaratkan ketauhidan kepada Tuhan iaitu :

 “ The most important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear, O Israel: The Lord our God, the Lord is one.

( Holy Bible, New International Version, Gospel of Mark, Bab 12, ayat nombor 29, halaman 718 )

Selepas itu, digambarkan bahawa PK pergi ke beberapa tempat dan bertemu dengan pelbagai ajaran agama. Oleh sebab ada pelbagai jenis Tuhan yang disembah oleh para penganutnya yang ditemui oleh PK, dia berasa keliru untuk menentukan yang manakah Tuhan yang sebenar. Akhirnya PK memutuskan untuk menyembah semua Tuhan yang ditemuinya mengikut cara para penganut setiap ajaran tersebut. Di sini terlihat adanya unsur pluralisme. Ditunjukkan beberapa babak di mana PK beribadah seperti para pengikut ajaran tersebut. Pada pandangan saya, tidak perlu babak ibadah itu dilakukan oleh Aamir Khan memandangkan bahawa beliau seorang yang beragama Islam dan Islam melarang untuk para penganutnya beribadah menurut agama lain. Memadai babak itu digantikan dengan adegan lain secara kreatif seperti menunjukkan PK berjalan menuju ke tempat-tempat ibadah tersebut. Ini sudah mencukupi. Dalam menghasilkan sesebuah karya, seorang Muslim itu wajib memastikan bahawa tindakannya selaras dengan syariah dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun, memandangkan filem ini dihasilkan oleh pihak-pihak yang bukan beragama Islam majoritinya, tidak hairanlah unsur patuh syariah itu tidak dititik beratkan.

Dalam satu babak, dipaparkan bahawa orang Islam beribadah dengan memukul-mukul badan sehingga berdarah. Sebenarnya ini bukan ajaran Islam sama sekali. Para penonton yang tidak memiliki aspek pengetahuan yang mendalam tentang Islam akan terkeliru. Ritual ini hanya dilakukan oleh segelintir penganut Syiah, sebuah aliran yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Bahkan sebahagian kecil ulama Syiah sendiri menolak untuk mengaitkan ajaran mencederakan badan ini dengan aliran Syiah.

Terdapat juga adegan yang menunjukkan para wanita berpoligami dan dikaitkan dengan Islam. Poligami bukanlah menjadi suatu kewajipan dalam Islam. Jumlah umat Islam yang tidak berpoligami jauh lebih ramai tetapi dalam filem ini digeneralisasikan Islam itu dengan poligami. Poligami itu bermaksud seseorang yang memiliki lebih daripada satu pasangan. Poligami terbahagi kepada dua iaitu poligeni dan poliandri. Poligeni merujuk kepada seorang lelaki yang memiliki lebih daripada satu pasangan manakala poliandri merujuk kepada seorang wanita yang memiliki lebih daripada satu pasangan. Islam tidak memperkenalkan poligami, tetapi Islam hanya memberikan peraturan untuk mengurus poligami. Poligami telah wujud lama dalam sejarah. Jumlah isteri yang boleh dipoligenikan oleh seorang suami tidak terbatas. Bangsa Rom purba telah lama mengamalkan sistem ini dalam kehidupan mereka sebelum kelahiran Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam. Syariat baginda membataskan poligeni kepada hanya empat orang wanita bagi setiap lelaki dan tidak membenarkan poliandri. Itu pun, poligeni tidak diwajibkan kepada semua lelaki.

Terdapat beberapa kritikan sosial yang ditunjukkan dalam filem ini terhadap beberapa kepercayaan yang dikaitkan dengan agama. Antaranya amalan berguling-guling menyembah Tuhan, memandikan patung Tuhan dengan susu, menyembah batu yang diletakkan di bawah sepohon pokok dan memberikan wang yang banyak kepada pemuka agama atas nama Tuhan. Penulis skrip kelihatan cuba mempersoalkan di manakah logiknya semua amalan tersebut dan apakah semua itu benar-benar kehendak Tuhan? PK akhirnya sampai kepada satu kesimpulan bahawa mesej Tuhan telah salah diterima.

            Sekiranya para penonton memberhentikan tontonan di sini, mereka berkemungkinan akan beranggapan bahawa Tuhan sebenarnya tidak wujud, seperti anggapan sebahagian atheis. Para atheis menganggap Tuhan hanya rekaan manusia semata-mata. Apatah lagi digambarkan bahawa para pemuka dalam kebanyakan agama itu ialah para penipu yang suka berbohong demi kepentingan diri sendiri. Para pemuka agama itu menggunakan perasaan takut dan keinginan manusia untuk terus mengawal para penganut agama itu kekal mempercayai mereka.

Sekali lagi penulis skrip bermain dengan generalisasi. Tidak dinafikan bahawa ada pemuka agama yang mengambil kesempatan atas nama agama demi kepentingan diri sendiri. Namun pada masa yang sama, ramai juga pemuka agama yang ikhlas dalam tindakannya. Tindakan hanya memfokuskan kepada sebahagian pemuka agama yang bermasalah dan mengabaikan fakta bahawa ada pemuka agama yang jujur memberi gambaran yang berat sebelah. Ibarat seekor kerbau terkena lumpur, habis semuanya terpalit sama. Namun mungkin penulis skrip cuba bermain dengan unsur ‘ exaggeration ‘ untuk menjadikan cerita itu menarik.

Di penghujung cerita, ketika PK berdebat dengan watak Tapasvi iaitu seorang pemuka agama yang tidak jujur, PK mengatakan bahawa dia percaya bahawa ada dua jenis Tuhan. Tuhan yang pertama ialah Tuhan yang benar-benar menciptakan manusia, manakala Tuhan yang kedua ialah Tuhan yang dicipta oleh imaginasi manusia. Ini titik penting dalam filem ini yang membezakan sama ada pembikin filem ini seorang atheis atau theis. Pengakhiran filem ini menegaskan bahawa pembikin filem ini tetap meyakini bahawa Tuhan itu wujud, cuma wujudnya mungkin bukan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pemuka agama yang dianggap seolah-olah wakil Tuhan di muka bumi. Cerita berakhir dengan PK belajar untuk berbohong dari manusia di pengakhiran cerita apabila menafikan cintanya terhadap Jaggu. ( Oh ya PK berjaya mendapat semula alat komunikasinya yang rupa-rupanya disimpan oleh Tapasvi dan pulang ke planet asalnya )

Bagaimanapun di sini letak kekurangan filem tersebut kerana meletakkan falsafah Tuhan itu wujud, tapi tanpa agama. Di titik inilah kita sebagai seorang Muslim perlu berlepas diri dari falsafah di sebalik filem ini dan menegakkan ‘izzah sebagai seorang Muslim yang meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang diredai oleh Tuhan sepertimana firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 19. Jika tidak, kita akan terbuai dengan semua falsafah yang cuba diserapkan dalam minda bawah sedar kita tanpa mengkritisi semula idea yang cuba ditampilkan. Jika pembikin filem ini berani mengkritisi idea orang lain, mengapa kita tidak boleh mengkritisi idea mereka semula, bukankah begitu?

Bagi sesetengah pihak, kritikan sosial di dalam filem ini mungkin agak keras. Saya bersetuju bahawa sesetengahnya agak keras, seperti adegan Lord Shiva, salah satu daripada unsur Trimurti dalam agama Hindu yang digambarkan sebagai penakut sehingga terpaksa bersembunyi di celah-celah kaki manusia. Saya tidak pasti apa perasaan seorang penganut agama Hindu yang tegar apabila menonton adegan ini. Mungkin sebab itulah dikatakan ada pihak yang berusaha untuk menghalang filem ini daripada terus ditayangkan kerana dianggap menghina agama tertentu.

Pada pandangan saya, semua pihak wajar mengambil iktibar dari penghasilan filem ini. Dari pihak pembikin filem, barangkali boleh diusahakan sebuah skrip yang lebih lembut pengolahannya agar tidak terlalu menyentuh sensitiviti dalam beragama. Pengolahan tersebut boleh dilakukan dengan cara yang lebih kreatif.

Kepada para pemuka agama, wajar direnungkan kenapa ada pihak yang sanggup menghasilkan filem seperti ini dan mengkritik perilaku mereka. Penghasilan filem ini mungkin disebabkan oleh tindakan segelintir ( bukan semua ) orang agama yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan peribadi. Tanpa pencanaian semula idea, orang ramai bisa menolak terus kewujudan orang agama dalam kehidupan mereka.

Kepada umat Islam, apa jawapan kita terhadap penghasilan filem seperti ini? Berpeluk tubuh dan bergoyang kaki bukan salah satu daripadanya. Kita wajib bangkit untuk membetulkan beberapa persepsi keliru yang wujud dalam filem ini, dan juga dalam filem-filem yang lain secara aktif. Watak Sarfaraz iaitu seorang Muslim dalam filem ini digambarkan secara keliru. Sarfaraz dipotretkan sebagai seorang yang jujur tetapi pada masa yang sama tidak kisah untuk tidur dengan wanita berlainan agama sebelum berkahwin. Dia juga bersedia untuk berkahwin dengan wanita tersebut di gereja. Caca marba gambaran Islam yang ditampilkan. Bagaimana cara untuk membetulkan persepsi tersebut? Antaranya dengan menghasilkan sebuah filem yang memberi gambaran tentang Islam yang sebenar. Siapa yang perlu membikinnya? Kitalah. Siapa lagi?

PK tetap sebuah filem yang bagus dari sudut tertentu dan memiliki kekurangan pula dari sudut tertentu. Ambil sudut positif filem ini dan tolak sisi negatifnya. Penghasilan sebuah karya yang bermutu berhajat kepada falsafah yang tersirat di sebalik penghasilannya. PK, bagi saya memenuhi sebahagian besar kritirea tersebut.




            

3 ulasan:

  1. Review yang bagus. Bagi sape yang tak menonton filem PK, lepas baca review ni mesti cari filem ni untuk menontonnya. Hihi

    BalasPadam