Sabtu, 8 Mac 2014

Mengenang Hamka : Coretan Terhadap Peribadi Seorang Ilmuan Nusantara


Hamka, nama yang sering didengari, tetapi di mana ya?

Semenjak diri ini di bangku persekolahan, nama ulama yang bernama Hamka ini sudah sering saya dengari.

Hamka ulama tersohor !

Hamka novelis terkenal !

Hamka novelis puitis !

Begitulah kira-kiranya ungkapan yang sering meniti di bibir-bibir orang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta

Ketika saya mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia ( SPM ), nama Hamka tercatat sebagai salah seorang tokoh yang yang perlu ditelaah bagi subjek Pendidikan Islam. Saya mempelajari biografi Hamka secara sepintas lalu. Kemudian nama beliau perlahan-lahan luput daripada ingatan selepas saya meninggalkan bangku persekolahan.

Hanya sekadar itu kenangan yang saya ingat tentang beliau di zaman persekolahan...

Merantau ke Medan

Persis sebuah novel Hamka yang bertajuk " Merantau ke Deli ", takdir menentukan bahawa saya harus menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara ( IAIN SU ) Medan. Medan, yang dulunya bergelar Deli, adalah tempat permukiman Hamka selama 10 tahun sewaktu beliau memimpin majalah Panji Masyarakat. Sayangnya fakta ini hanya saya ketahui beberapa tahun kemudian, setelah saya pulang ke tanah air dan membaca buku Kenang-Kenangan Hidup karya beliau.

Barangkali buku beliau yang pertama saya tekuni dari awal hingga ke halaman yang terakhir ialah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Itupun bacaan dilakukan secara santai bagi mengisi waktu senggang yang ada.

Itu perkenalan yang pertama..

Jiwang juga rupanya beliau ini, fikir saya..

Orang kata, impresi yang pertama sering berkekalan...

Kemudian, seorang senior pula memberikan salinan digital bagi skripsi beliau yang berjudul Jihad Menurut Hamka sebagai panduan bagi kami yang berada ditahun akhir untuk menyiapkan skripsi. Skripsi ialah tulisan ilmiah yang perlu ditulis oleh seseorang pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda di IAIN SU bagi melengkapkan pengajiannya.

Skripsi yang ditulis dengan gaya ilmiah itu, menambahkan pengetahuan saya terhadap peribadi yang bergelar Buya Hamka.

Tesis

Selesai pengajian di peringkat ijazah, saya pun mengorak langkah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana. Menyambung pengajian di peringkat sarjana ketika rakan-rakan yang lain sudah bekerja dan ramai juga yang sudah menjejakkan kaki ke gerbang rumah tangga bukanlah suatu pilihan yang popular. Tetapi saya tetap melakukannya kerana saya sangat berminat dengan dunia ilmu. Membaca, mengkaji, menulis, berbincang dengan ilmuan, ini dunia yang saya sangat cintai. Dunia yang sangat mengasyikkan bagi saya, tetapi dunia yang sangat aneh bagi sebahagian orang di luar sana.

Keputusan untuk membuat pengkhususan dalam bidang hadis, memaksa saya berulang alik ke beberapa tempat untuk melakukan rujukan. Pada mulanya, saya ingin membuat kajian tentang pemikiran Syeikh Muhammad Al-Ghazali rahimahullah tentang hadis, guru Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah.

Tajuk itu pun saya sarankan kepada bakal penyelia yang berpotensi di USM, iaitu Dr Mohd Asri Zainul Abidin ( MAZA ) hafizahullah. Secara amnya, beliau menyatakan kesediannya untuk membimbing saya melakukan kajian tentang tajuk itu. Sementara menunggu surat rasmi dari USM atas status saya sebagai seorang calon sarjana, Dr MAZA hafizahullah mendapat tawaran untuk menjadi felo di Universiti Oxford. Beliau pun terbang ke sana.

Penyeliaan bertukar tangan. Saya diletakkan di bawah seliaan Prof Madya Dr Radzi Othman, seorang ulama hadis senior di Malaysia. Berkelulusan Doktor Falsafah dari Universiti Madinah, beliau berperwatakan tenang dan lembut. Berbicara dengan beliau seperti berbicara dengan seorang ayah yang sangat memahami. Perwatakannya menenangkan hati.

Apabila tajuk tentang Syeikh Muhammad Al-Ghazali diajukan kepada beliau, dengan bijaksana beliau mencadangkan agar saya mencari tajuk lain yang difikirkan sesuai. Maka kembalilah saya berkampung di perpustakaan untuk mencari tajuk yang baru.

Akhirnya, saya tertarik dengan kajian di peringkat Doktor Falsafah yang bertajuk Hamka Dan Tafsir Al-Azhar, Sebuah Kajian Kualiti Hadis. Setelah membaca kajian ini beberapa kali, saya mendapati ada ruang untuk melakukan kesinambungan kajian. Dan kali ini, al-fadhil doktor bersetuju dengan tajuk yang diutarakan oleh saya.

Maka bermulalah perkenalan ketiga saya dengan Buya Hamka

Hamka di Mata Seorang Anak Felda

Saya hanya seorang biasa yang datang dari sebuah felda di selatan tanah air. Ayah dan ibu orang yang biasa. Semuanya biasa-biasa sahaja. 

Tetapi Hamka bukan orang biasa. Beliau berasal dari keturunan ulama. Hamka, atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah, adalah keturunan Tunku Pariaman, seorang tokoh terkenal dalam Perang Paderi. Ayahnya, Haji Abdul Karim, yang lebih dikenali sebagai Haji Rasul, juga seorang ulama yang terkenal.

Memilih tajuk yang berkaitan dengan hadis-hadis dalam Tafsir Al-Azhar, memaksa saya membaca pelbagai buku berkaitan beliau. Antara buku yang saya hadami dari kulit ke kulit ialah Kenang-Kenangan Hidup, Ayahku, Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu, Islam Dan Adat Minangkabau, dan lain-lain.

Sebelumnya, saya memang sudah memiliki cita-cita untuk menulis buku atau novel. Tetapi keinginan itu belum begitu bersemarak sebelum saya membuat kajian tentang Hamka di peringkat sarjana ini. Dan keinginan itu, belum begitu bersemarak, sehinggalah saya membaca buku Kenang-Kenangan Hidup karya Buya Hamka.

Kenang-Kenangan Hidup, pada asalnya diterbitkan dalam 4 jilid. Akan tetapi, versi Bahasa Malaysia yang diterbitkan oleh Pustaka Dini selaku pemegang hak cipta karya Hamka di Malaysia digabungkan dalam sebuah jilid sahaja. Buku ini mengisahkan tentang liku-liku kehidupan Hamka, yang ditulis oleh beliau sendiri. Sayangnya, catatan dalam buku itu berkisar sekitar tahun 1908 sehingga 1950 sahaja, sehingga tidak dapat memuatkan kisah hidup beliau selanjutnya, selepas 1950 hingga beliau menutup mata rapat-rapat pada 24 Julai 1981.

Buku Ayahku, tulisan Hamka pula mengisahkan tentang ayah beliau, Haji Abdul Karim Amrullah rahimahullah yang dianggap sebagai salah seorang tokoh agama yang penting di Sumatera. Sering buku ini disebut oleh Dr MAZA hafizahullah dalam kuliah-kuliah beliau.

Hamka dan Sukarno, mantan Presiden Indonesia pernah menjadi sahabat akrab. Namun ukhuwah itu sedikit terjejas apabila Hamka dijebloskan ke dalam penjara atas arahan Sukarno kerana fitnah yang direka cipta. Peristiwa ini rupa-rupanya penuh hikmah. Hasilnya, Tafsir Al-Azhar, lengkap 30 juzuk diselesaikan di sebalik jeriji besi. Ironinya, apabila Sukarno hampir meninggal dunia, beliau meminta Hamka yang mengimamkan solat jenazahnya. Mungkin itu tanda permintaan maaf beliau kepada Hamka yang tidak terlafaz di bibir. Dan Hamka, dengan tulus menunaikan permintaan itu.

Dan ketika kajian tesis semakin sampai ke penghujungnya, semakin terdetik rasa kekaguman terhadap sosok yang bernama Hamka ini. Ketegasan beliau dalam mempertahankan fatwanya, akhirnya mendorong beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia pada tahun 1981 kerana tidak mahu berkonflik dengan Menteri Agama Indonesia ketika itu yang meminta beliau menarik balik fatwanya.

Biarlah mundur tanpa jawatan, asalkan kebenaran tetap dipertahankan !

Dan tidak lama kemudian, detik itupun tiba. Hamka mula sakit-sakit tidak bermaya. Dan akhirnya, beliau menutup mata, di samping keluarganya yang tercinta. Hanya beberapa ketika setelah meletakkan jawatannya.

Hamka, walaupun ramai yang tidak sempat bertemu dengannya, tetapi peribadinya mengharum sehingga ke hari muka...

:)



1 ulasan: