Selasa, 11 Mac 2014

Cinta Sebelum Bernikah : Antara Pro Dan Kontra





Ilmuan berbeza pendapat terhadap hukum bercinta sebelum kahwin.


Terdapat sekurang-kurangnya tiga pendapat dalam hal ini.

1. Pendapat pertama mengatakan bahawa cinta sebelum bernikah itu adalah terlarang.Ini pendapat yang popular.

2. Pendapat beranggapan bahawa cinta sebelum bernikah itu adalah harus. Dengan menjaga syarat-syaratnya. Antara ilmuan yang cenderung kepada pandangan ini ialah Ibn Hazm dan Hamka.Walau bagaimanapun, pendapat ini adalah pendapat minoriti.

3.Pendapat ketiga pula bersikap diam terhadap isu ini. Tidak diulas sama ada cinta sebelum bernikah itu dibolehkan atau tidak.

Pendapat pertama mengutarakan hujahnya bahawa tidak ada percintaan sebelum bernikah berasaskan ayat 32 Surah Al-Isra'yang bermaksud :

Dan janganlah kamu mendekati zina...

Oleh kerana bercinta dianggap sebagai perkara yang boleh membawa kepada zina jika tidak dikawal, maka jalan yang terbaik adalah mencegahnya dari awal.Bagi golongan ini, bercinta selepas nikah itu lebih baik. 

Tidak dinafikan bahawa pendapat ini adalah pendapat yang paling selamat

Golongan kedua pula membenarkan cinta sebelum nikah secara bersyarat. Mereka membezakan antara cinta dan budaya couple.

Couple menurut istilah muda-mudi sekarang dianggap sebagai bercinta dengan keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, dan sebagainya bukanlah bentuk cinta yang dibenarkan oleh golongan kedua ini.

Antara syaratnya ialah :

- Percintaan itu tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syarak

- Tidak berhubung tanpa keperluan yang mendesak

- Pertemuan hendaklah disertai mahram wanita

Dan lain-lain

Pendapat kedua ini lebih terbuka sifatnya. Namun dari aspek praktikalnya, amat sukar ditemui pasangan yang bercinta yang menjaga syarat-syarat ini.Maka tidak hairanlah ada yang mengkritik pendapat ini kerana disifatkan membuka pintu kerosakan ( fath az-zar'i )kepada orang-orang yang tidak amanah menjaga syarat-syarat yang telah digariskan tadi.Walau bagaimanapun, dari segi ilmiah, pendapat kedua ini memiliki nilai yang tersendiri.

Golongan ketiga pula memilih untuk mendiamkan diri terhadap isu ini. Kita tidak mengetahui sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan konsep bercinta sebelum nikah.

Kesimpulan 

Pendapat pertama adalah pendapat yang paling selamat.Pendapat ini mengelakkan kita terjebak ke kancah penzinaan sekiranya kita tidak berhati-hati.Pada masa yang sama tidak perlulah meremehkan orang lain yang memilih pendapat berbeza.Hormati perbezaan.

Bagi yang berkecenderungan terhadap pendapat kedua, hendaklah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga persyaratan yang telah ditetapkan oleh ulama. Jika mereka mendapati bahawa mereka tidak mampu untuk menjaganya, maka hendaklah mereka bersikap jujur dengan diri sendiri dan beramal dengan pendapat pertama.Dan tidak perlulah meremehkan atau melabelkan orang yang berpegang dengan pendapat pertama dengan pelbagai label seperti polis cinta dan sebagainya.

Sekiranya kita mendapati diri kita menyukai seseorang, berjumpalah dengan ibu bapanya.

Sebelum suka bertunas menjadi sayang, dan sayang berputik menjadi cinta, eloklah kita bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

Lengkapkan diri dengan ilmu agama, dan ilmu rumah tangga.

Kemudian, jika ingin bercinta, maka aturlah langkah yang sebaiknya

Salam percintaan !

^_^





Tiada ulasan:

Catat Ulasan