Khamis, 17 Mei 2012

City vs United : Suatu Analisis Daripada Perspektif Motivasi Islam



Suasana kelihatan cemas. Wajah-wajah yang menatap skrin tv itu kelihatan gelisah. Sesekali jeritan bergema apabila ada aksi-aksi menarik dipertontonkan oleh para pemain. Kedai-kedai mamak yang beroperasi 24 jam penuh dengan kelibat yang rata-ratanya berpakaian warna merah dan biru.

Begitulah kira-kiranya situasi pada 13 May 2012 yang lalu. Sebaik sahaja perlawanan di antara Manchester United dengan Sunderland berakhir, United berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dan bersedia untuk meraih gelaran juara buat kali yang ke-20, 12 kali dijulang dibawah bimbingan Sir Alex Ferguson.

Sementara itu, beberapa kilometer dari Stadium Old Trafford, perlawanan di antara Manchester City dan Queen Park Rangers masih belum berakhir. Perlawanan sedang memasuki masa tambahan dengan kedudukan terikat 2-2. Suasana kelihatan muram. Namun para pemain Manchester City masih terus berjuang di tengah padang..

Dan apabila Sergio Aguero meledakkan jaringan kemenangan di minit-minit terakhir perlawanan, seluruh stadium bergema. Manchester City akhirnya bergelar juara setelah menunggu selama 44 tahun ! Ternyata bola itu bulat ( sebenarnya berbentuk sfera )

Kegagalan bukan untuk ditangisi selamanya

. Sir Alex Ferguson adalah salah seorang pengurus yang berkaliber dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. Deretan piala yang dimenangi membuktikan ketokohannya. Namun bukan bermakna beliau tidak pernah gagal. Juara yang sebenar bukanlah seorang yang tidak pernah terjatuh dalam kehidupannya, tetapi orang yang berupaya bangkit semula dengan lebih hebat di masa depan.

Begitulah jua kehidupan kita sebagai orang Muslim. Janganlah kita mudah berputus asa dengan kegagalan yang pernah kita hadapi. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran :

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ertinya : 

Katakanlah ( olehmu wahai Muhammad kepada orang-orang yang beriman bahawa Daku berfirman ) wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas kepada diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun Segala Dosa ( kecuali syirik ). Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Surah Az-Zumar [ 39 ] ayat 53

Sifat tidak berputus asa terhadap rahmat Allah adalah sikap yang terpuji. Semua manusia kecuali para Nabi dan Rasul tidaklah maksum. Kita juga melakukan kesilapan. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang sedar dan tidak mengulangi kesilapannya.

Belajar daripada Liga Perdana Inggeris

Apabila kita melihat permainan bola sepak, tentunya kita tahu bahawa bola tersebut tidak akan  akan masuk ke gawang melainkan jika ada usaha dilakukan untuk memasukkannya. Begitulah di dalam kehidupan. Usaha perlu dilakukan secara berterusan untuk mendakap kejayaan yang diimpikan.

Manchester United telah mengenggam 19 trofi Liga Perdana Inggeris dalam sejarah kelab tersebut. Manchester City pula telah menunggu selama 44 tahun untuk mengenggam kembali trofi ini. Arsenal pernah mencipta rekod memenangi kejuaraan liga tanpa kalah dalam 38 perlawanan pada musim 2003/2004, Liverpool memiliki 18 trofi kejuaraan dan menjadi legenda dalam Liga Perdana Inggeris yang sentiasa dicemburui. Chelsea pula baru sahaja memenangi Piala F.A dan Liga Juara-Juara bagi musim ini meskipun dibarisi para pemain yang sudah lanjut usianya. 

Maka apakah yang menghalang kita sebagai umat Islam untuk berjaya dalam kehidupan?


^_^




Tiada ulasan:

Catat Ulasan