Rabu, 2 Mei 2012

Johan, Zizan Dan Dakwah



Johan dan Zizan adalah dua nama yang tidak asing lagi dalam arena seni tanah air. Pasangan yang sering dikenali dengan nama Jozan ini adalah merupakan antara bintang yang menyinar dalam bidang hiburan di negara kita. Semenjak tampil sebagai finalis dalam Raja Lawak Musim Pertama, nama mereka semakin gah dan sering menjadi sebutan peminat gara-gara kelucuan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika kedua-duanya mengungguli bidang masing-masing dalam Anugerah Bintang Popular 2012 yang berlangsung baru-baru ini. Johan, atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim bin Mohd. Aziz telah memenangi kategori Artis Komedi Lelaki Popular yang telah dimenangi oleh Zizan pada tahun sebelumnya. Zizan walau bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong kerana pulang dengan trofi Pengacara Tv Lelaki Popular yang sebelum ini didominasi oleh Aznil Hj. Nawawi selama 8 tahun berturut-turut.

Namun bukan populariti mereka yang menjadi fokus di sini. Kemunculan Zizan bersama Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus Hafizahullah pada malam tahun baru 2012 di Dataran Shah Alam telah menimbulkan reaksi yang berbeza-beza di kalangan mereka yang terlibat dalam bidang dakwah. Johan pula sering terlibat dalam pertunjukan-pertunjukan amal dan bantuan kebajikan.

Bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mutakhir ini, ramai golongan artis yang berjinak-jinak dengan dunia dakwah. Nama-nama seperti Iwan Syahman, Akil Hayy, Wardina Safiyyah dan ramai lagi adalah antara mereka yang telah berpaling ke dimensi baru dalam kehidupan mereka. 

Pembabitan Johan dan Zizan dalam dunia dakwah adalah sesuatu yang bermanfaat untuk perkembangan dakwah di kalangan generasi muda. Dengan bakat yang mereka miliki, jika dimanfaatkan dengan sepenuhnya, mungkin akan menghasilkan rentak yang positif dalam arena dakwah di negara ini.

Mungkinkah kita akan melihat Johan dan Zizan akan berkecimpung di arena dakwah di negara ini suatu hari nanti? Sama-sama kita nantikan...

^_^


Tiada ulasan:

Catat Ulasan