Khamis, 17 Julai 2014

Keranamu Palestin







Jebat melirik matanya ke arah jam dinding. Sudah pukul 11.00 malam. Dia baru pulang dari menunaikan solat terawih di masjid kampungnya. Merdu sekali suara imam muda yang mengimami solat terawih tadi.  Alunan tarannum jiharka, rast, dan bayyati kurdi diselang-selikan dalam bacaannya yang menyentuh perasaan. Jebat yang memahami bahasa arab hasil pengajiannya di bumi Jordan  turut merasai getaran yang hebat tatkala Al-Quran itu dibaca. Memang, sekiranya kalamullah itu difahami pengertiannya, nescaya bergetarlah jiwa-jiwa yang memiliki benih iman di dadanya.

Telefon bimbitnya dicapai. Ada panggilan yang tidak berjawab dari sahabatnya, Dr Faris. Sahabat itu sudah lama dikenalinya semenjak zaman pengajian di University of Science & Technology ( JUST ) lagi. Universiti itu antara yang menawarkan pengajian doktor perubatan kepada pelajar asing di Jordan. Dan dirinya, selaku salah seorang pelajar cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) telah ditawarkan ke sana. Hampir 7 tahun berada di sana, pelbagai rencah kehidupan sudah dilalui. Pahit, manis, semuanya sudah menjadi adunan harian yang sebati.
Nombor telefon. Dr Faris didail. Talian bersambung. Kedengaran nyanyian Maher Zain di hujung talian menjadi pilihan nada dering sahabatnya.  
“ Assalamualaikum, Jebat ya? ” suara Dr Faris kedengaran agak perlahan. Keletihan barangkali dengan tugas harian beliau sebagai doktor. Memang kerjaya sebagai doktor perubatan ini memerlukan pengorbanan yang bukan alang kepalang. Bukan calang-calang orang yang mamu berhadapan dengan tekanan itu. 
“ Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh, ya saya. Tadi Faris telefon sayakah? Maaf saya baru pulang dari masjid. Telefon ini pula tidak dibawa. Ada apa ya? ” Jebat bertanya.
“ Begini Jebat. Engkau tahu bukan bahawa semalam Gazzah diserang?” soal Dr Faris pula.
“ Ya tahu, kenapa?” Jebat melanjutkan pertanyaan. Masakan dia tidak tahu bahawa Gazzah yang berada di Palestin itu diserang. Berita itu tersebar di mana-mana. Di Facebook, Twitter, televisyen, radio, semuanya menyiarkan berita yang sama. Negara Israel menyerang Palestin lagi, buat kesekian kalinya.
“ Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Palestin. Antara yang diperlukan ialah kira-kira 50 orang doktor. Engkau berminat untuk turut serta? Nama aku dicadangkan untuk pergi, tetapi aku terlibat dengan kemalangan. Kaki aku patah. Aku tidak dapat pergi, ” tenang Dr Faris menjelaskan.
“ Ya Allah, bila engkau kemalangan? Aku tidak tahu pun ! Inna lillahi wa inna ilaihi rajiiun, ” spontan bibir Jebat mengucapkan kalimah istirja’. Memang kalimah itu adalah doa yang dianjurkan apabila mendengar apa-apa musibah, dan tidak terhad terhadap kematian sahaja seperti yang disangka oleh sesetengah orang. 
“ Semalam aku kemalangan. Ada anak kucing melintas di tengah jalan. Aku mahu mengelak daripada terlanggar anak kucing itu. Akibatnya aku terbabas dan dilanggar oleh kereta yang datang dari arah berlawanan. Mujur aku tidak apa-apa. Kaki ini sahaja yang patah. Sebab itu aku masih boleh menggunakan telefon ini. Memang sengaja aku minta isteri aku, Fauziah agar tidak menghobeh-hebohkan hal ini.Perkara kecil sahaja. Apalah yang mahu dikecohkan sangat, “ Dr Faris menceritakan kejadian yang dialaminya. Sungguh, tidak sanggup dia melanggar anak kucing berbelang kuning itu yang berada di tengah-tengah jalan. Dia memang suka dengan kucing. Di rumahnya ada tiga ekor kucing yang dibelanya sejak kucing-kucing itu masih kecil lagi. Masakan dia tergamak pula melanggar anak kucing di tengah jalan itu?
“ Sepatutnya aku ke Palestin dua hari lagi. Tetapi dengan keadaan aku sekarang, mustahil aku dapat pergi. Aku teringin sangat mahu ke sana, Jebat. Kebetulan nama engkau juga ada dalam senarai calon pengganti yang dicadangkan oleh kerajaan jika calon utama tidak dapat pergi. Jika engkau setuju, malam ini juga aku maklumkan kepada wakil kerajaan untuk menggantikan aku. Mereka memerlukan keputusan segera. Maklumlah, banyak urusan perlu dilakukan kerana keberangkatan itu hanya dua hari lagi,” Dr Faris meminta pertimbangan sahabat baiknya itu.
“ Aku setuju. Bagaimana dengan persiapan untuk pergi? Pasport dan sebagainya? “ tanya Jebat pula. Maklumlah, agak tergesa-gesa juga pemergiannya kali ini. Bimbang pula dia jika ada apa-apa yang tidak kena nanti. 
“ Itu engkau jangan risau. Kerajaan akan uruskan segala-galanya. Urusan ini akan dipermudah antara kerajaan Malaysia dan Palestin. Kita datang pun untuk membantu mereka. Cuma bagaimana dengan keluarga engkau? Adakah mereka bersetuju?” jelas Dr Faris.
“ Itu jangan engkau risaukan. Pandai-pandailah aku uruskan nanti, “ Jebat memberi jaminan.
“ Itu aku tahu. Cuma bagaimana dengan urusan perkahwinan engkau? Bagaimana dengan Fatihah?” soal Dr Faris. Serba salah juga sebenarnya dia mahu meminta sahabat baiknya itu untuk pergi ke Palestin. Tetapi amat sukar untuk dicari doktor yang mahu menjadi sukarelawan ke sana di saat-saat akhir begini. Bahaya. Silap-silap, perginya tidak kembali lagi !
Jebat terdiam seketika. Fikirannya menerawang. Dia teringat, dua hari lagi adalah tarikh perkahwinannya. Ya. Dia merancang untuk berkahwin di bulan Ramadan. Memang tidak pernah dibuat orang. Tapi itu sahaja masa yang dia ada. Kerjayanya sebagai doktor menyebabkan agak sukar bagi dirinya mencari masa yang sesuai untuk melangsungkan tarikh keramatnya itu. Sudah beberapa kali dia menangguhkan pernikahannya dengan Fatihah. Sungguhpun Fatihah dan keluarganya memahami situasi dan kerjaya Jebat yang tidak menentu, namun Jebat berasa segan untuk menangguhkan perkahwinan mereka untuk kesekian kalinya. Akhirnya, majlis itu dirancang untuk diadakan pada bulan Ramadan sebab jadual Jebat agak padat menjelang Syawal dan seterusnya. Lagipun tidak salah melakukan pernikahan di bulan Ramadan. Cuma orang kita sahaja yang tidak biasa melakukannya.
Jebat teringat, sepatutnya ijab dan qabul dilakukan selepas solat Maghrib berwalikan ayah Fatihah sendiri, Haji Idris. Kemudian dia sendiri akan mengimamkan solat Isyak dan terawih secara berjemaah. Kemudian, jamuan kecil-kecilan disediakan buat tetamu yang ada. Tiada majlis bersanding, tepung tawar dan seumpanya. Majlisnya ringkas sahaja. Apa yang penting, menepati syariat. Soal penerimaan orang, itu terserah kepada penilaian masing-masing.
Tapi kini nampaknya perancangan itu terpaksa ditangguhkan buat kesekian kalinya.
“ Tidak mengapa, aku boleh uruskan hal itu. Engkau masukkan sahaja nama aku,” Jebat membuat keputusan. Ada nada yakin dalam getaran suaranya.
“ Baiklah, jika begitu. Aku hubungi pegawai yang bertanggungjawab sekarang juga. Nanti aku maklumkan perkembangan terkini kepada engkau. Assalamualaikum, ” Dr aris mengakhiri perbualan.
“ Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh, ” Jebat membalas salam sahabatnya dengan ucapan yang lebih panjang. Memang begitu yang dianjurkan oleh Islam. Membalas ucapan salam dengan ucapan yang setara atau lebih baik.
“ Kamu sudah membulatkan tekad? “ Puan Hafsah bertanya kepada anaknya.
“ Ya ibu. Rakyat Palestin lebih memerlukan bantuan ketika ini. Ini sahaja yang mampu untuk saya sumbangkan. Adapun urusan perkahwinan, boleh ditangguhkan ke lain masa. Izinkan saya ke sana ibu, “ Jebat mengucup tangan ibunya. Jari-jemari itu telah berkedut seribu. Hampir tidak perasan dirinya tentang hal itu. Tangan itulah yang dahulunya menghayun buaian ketika dirinya masih kecil. Ibunya membesarkan dirinya seorang diri. Dialah satu-satunya anak ibunya. Ayahnya meninggal dunia tidak lama setelah Jebat dilahirkan. Ibunya tidak pula berkahwin lain. Jebat tidak tahu alasannya.
Pernah juga dia mempersoalkan. Mengaja Jebat nama yang diberi. Kata ibunya :
“ Nama itu diberi oleh ayah kamu. Dia ingin agar kamu memiliki semangat Hang Jebat. Namun jangan pula dituruti tingkah lakunya,”
“ Maksud ibu?” Jebat bertanya. Kehairanan. Dia tahu kisah Hang Jebat dan Hang Tuah. Ada disebutkan kisah itu dalam Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang. Sama ada benarkah Hang Jebat dan Hang Tuah itu benar-benar wujud, atau sekadar mitos tidak pula dia ketahui.
“ Kata ayah kamu, Hang Jebat benar apabila dia berkata bahawa Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Tindakannya untuk menuntut bela terhadap kezaliman sultan kepada Hang Tuah itu tepat. Cuma caranya yang kurang sesuai. Dia tidak sepatutnya mengamuk dan membunuh rakyat jelata yang tidak ada kena mengena dengan perbuatan sultan itu. Sepatutnya, dia hanya mengarahkan perjuangannya terhadap sultan sahaja,” jelas ibunya.
“ Bagaimana pula dengan Hang Tuah?” Jebat menduga.
“ Ayah kamu berpendapat bahawa boleh taat kepada pemerintah selama mana perintah itu atas perkara yang makruf. Hang Tuah tidak sepatutnya taat secara membuta tuli. Tetapi Jebat pun satu juga. Mengapa dia bunuh orang awam. Dalam hal ini, kalaulah sultan itu seorang yang adil dan berhati-hati , alangkah bagusnya. Tidaklah beliau terburu-buru membuat keputusan kerana cemburu kepada Hang Tuah pula. Jadi tiga watak utama dalam cerita itu ada kesilapan masing-masing,” ujar ibunya.
Kenangan itu terhenti apabila Jebat melihat titisan jernih berguguran di pipi ibunya.
“ Baiklah, ibu izinkan. Jika hasratmu itu murni kerana Allah demi agama ini, siapalah ibu untuk menghalang, cuma Fatihah bagaimana? ” 
“ Saya akan bertemu dengan keluarganya sebentar lagi,” jelas Jebat. Lega kerana ibunya bersetuju.
Kini ibunya telah mengizinkan dia pergi ke Palestin. Hanya pihak Fatihah yang belum dimaklumkan lagi, 
**************************************************************************
“ Engkau mahu pergi ke Palestin?? Di saat-saat begini?? Jangan buat gila, Jebat !” tinggi sedikit nada Haji Idris. Menahan marah yang menyesakkan dada. Abdullah, anak lelaki Haji Idris yang sulung menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak percaya.
Isteri Haji Idris, Hajjah Fatimah hanya mendiamkan diri dengan dahi berkerut. Sukar juga dia mahu memahami keputusan calon menantunya itu.
Kad jemputan sudah dikirimkan. Saudara mara dan sahabat handai terdekat sudah diberitahu. Kini majlis itu mahu ditangguhkan pula?? Sudahlah keputusannya mahu mengadakan majlis akad di bulan Ramadan itu dipersoalkan, kini timbul isu lain pula.
Fatihah yang berada di sebelah ibunya menundukkan kepala. Kepalanya ligat berfikir untuk mencerna alasan yang diberikan oleh tunangnya itu.
Sudah lama dia mengenali tunangnya. Sedikit sebanyak dia sudah memahami prinsip lelaki yang bernama Jebat itu. Meskipun mereka tidak pernah berjumpa secara berdua melainkan ditemani oleh mahram, dia tahu isi hati sekarang ini. Agama, memang memang menduduki tempat pertama di hati lelaki itu.  Itulah yang disyaratkan oleh Jebat ketika memlih dirinya dan itu juga yang disyaratkan oleh dirinya ketika bersetuju menerima Jebat sebagai calon suaminya.
“ Ayah, ibu, abang, izinkan saya bersuara,” Fatihah mencelah penuh beradab. Sopan santun yang diajar oleh ibu bapanya sejak kecil membekas sehingga sekarang.
“ Ya bicaralah wahai Fatihah. Walaupun ayah kurang bersetuju dengan tindakan Jebat ini, keputusan akhir tetap di tangan kamu. Ayah tidak akan memaksa kamu mengikut keputusan ayah,” Haji Idris memberi keizinan. Memang dia tidak mahu anaknya membuat keputusan. Dahulu pun, dia tidak menghalang hasrat Fatihah untuk menerima lamaran Jebat. Meskipun beliau berstatus wali mujbir yang dianggap boleh menikahkan anaknya dengan orang yang dianggap sesuai menurut pendapat Mazhab al-Syafie, dia memberikan kebebasan bersyarat kepada anaknya itu untuk memilih pasangan hidunya. Syaratnya,bakal menantunya itu mesti seorang yang memiliki pegangan agama yang teguh. Sebab itulah, dia menerima pinangan Jebat terhadap anaknya meskipun hatinya lebih berkenan untuk menjodohkan Fatihah dengan Ustaz Fauzi, anak sahabatnya Haji Abd Qadir, yang berkelulusan Maahad Qiraat Shoubra Mesir. Malah sampai sekarang Ustaz Fauzi menyatakan kesediaan untuk menunggu Fatihah. Cuma barangkali jodoh mereka tiada.
“ Ayah, ibu, abang, saya faham situasi keluarga kita. Pada masa yang sama, saya faham situasi Dr Jebat. Dan saya rasa kita semua setuju bahawa rakyat Palestin memerlukan sokongan umat Islam yang lain sekarang.” Tenang Fatihah melafazkan tutur kata di hati. Memang dia memanggil Jebat dengan panggilan Dr Jebat. Tidak pernah dia memanggil Jebat dengan panggilan sayang, ‘ hubby ‘ ataupun yang seumpamanya. 
“ Pernikahan kami boleh ditangguhkan. Rakyat Palestin lebih memerlukan Dr Jebat sekarang. Inilah perjuangan kita. Inilah sumbangan yang boleh kita lakukan untuk Palestin. Jika dengan menangguhkan pernikahan kita, rakyat Palestin akan mendapat manfaatnya, saya rela, “ Fatihah memberi kata putus. Matanya berkaca-kaca. Naluri kewanitaannya terusik.
Haji Idris terdiam. Hajjah Fatimah dan Abdullah saling memandang antara satu sama lain. Jebat menghela nafas panjang. Dia sendiri sebenarnya tidak pasti sama ada keputusannya ini tepat atau tidak. Tetapi apabila dia teringatkan tangisan anak-anak kecil di Gazzah yang kehilangan ibu dan bapa mereka, kesangsiannya hilang sama sekali. Dia bertekad.
“ Baiklah jika begitu. Saya minta diri dahulu,” Jebat mahu lekas pulang. Bimbang pula dia jika berlama-lama di situ tekadnya berubah.
“ Sebelum itu saya ada satu permintaan. Jika ada apa-apa terjadi kepada saya, Tuan Haji nikahkanlah Fatihah dengan Ustaz Fauzi. Dia seorang yang baik. Saya relakan, ” Jebat mengajukan permintaan.
“ Saya akan tunggu Dr Jebat pulang,” Fatihah menundukkan matanya yang berkaca. Tidak berani dia bertentang mata dengan tunangnya itu. 
“ Saya pun berharap begitu. Tetapi kita mesti bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Tidak mengapa. Saya redha jika kita tiada jodoh di dunia ini. Saya pulang dahulu,” Jebat bingkas bersalaman dengan Haji Idris dan Abdullah. Tanpa menoleh lagi, dia mengatur langkah meninggalkan perkarangan rumah Haji Idris.
Itulah kali terakhir mereka bertemu sebelum Jebat berangkat ke Palestin. Sengaja Jebat tidak membenarkan Haji Idris dan keluarganya menghantarnya di lapangan terbang. TIdak mahu menyusahkan mereka katanya. Padahal hatinya sendiri sebenarnya tidak keruan jika Fatihah turut menghantarnya. Hanya ibunya sahaja, Puan Hafasah yang mengiringi keberangkatannya bersama delegasi Malaysia yang lain.
************************************************************************

Sudah seminggu keberangkatan Jebat ke Palestin. Setiap hari jualah Jebat menelefon ibunya memaklumkan perkembangan terkini. Menurut Jebat, para doktor menghadapi masalah untuk merawat mangsa-mangsa serangan. Bekalan perubatan yang dibawa hampis habis kerana jumlah mangsa yang di luar jangkaan. Tentera Israel pula tidak henti-henti menyerang Palestin. Bantuan perubatan juga sukar disalurkan kerana Mesir enggan membuka pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Palestin dengan Mesir. Negara-negara Arab yang lain juga seakan-akan membisu. Hanya beberapa negara seperti Malaysia yang kelihatan cakna dengan situasi di Palestin. Mahu harapakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Bak kata orang muda, harapkan panda, panda tidak boleh diharap. Pasukan perubatan yang disertai Jebat terkepung oleh asakan Tentera Israel yang bertali arus itu. 
            Hari itu Puan Hafsah berasa sedikit gelisah. Sudah dua hari Jebat tidak menelefon mengirimkan khabar berita. Laporan berita mengatakan bahawa pasukan perubatan Malaysia terputus hubungan dengan pihak luar gara-gara Tentera Israel mengebom kawasan berhampiran. Usaha sedang dilakukan oleh pihak kerajaan mereka untuk menghubungi mereka semula.
“ Ya Allah, sekiranya ujian ini Engkau hadirkan untuk aku dan keluargaku, maka aku redha Ya Allah. Sesungguhnya solat kami, ibadah kami, hidup kami, dan mati kamu hanya semata-mata kerana Engkau Ya Allah,” Puan Hafsah merintih dalam munajat yang panjang di tengah kepekatan malam. Selama ini memang dia istiqamah berjaga malam untuk beribadah kepada Sang Pencipta. Kepada siapa lagi mahu diserahkan harapan melainkan kepada Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui?
            Keesokan paginya, telefon bimbit Puan Hafsah berdering. Puan Hafsah teragak-agak untuk mengangkat nombor yang tidak dikenalinya itu. Hatinya bagaikan sudah menebak sesuatu. Perlahan-lahan diangkatnya jua panggilan itu.
“ Assalamualaikum, boleh saya bercakap dengan Puan Hafsah, ibu Dr Jebat? Suara di hujung talian bertanya.
“ Ya saya. Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana? ”
“ Saya wakil dari pihak kerajaan Malaysia. Ada sesuatu yang ingin saya maklumkan kepada puan tentang Dr Jebat. Harap puan bersabar ya,” agak berhati-hati suara di hujung talian itu menyusun bicara.
Bagai luluh hati Puan Hafsah apabila menerima berita tentang Jebat. Kawasan di mana delegasi perubatan Malaysia ditempatkan telah diserang oleh tentera Israel. Ramai yang terkorban. Salah seorang yang tidak bernasib baik itu ialah Jebat. Dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat terkena serpihan bom barangkali. Anehnya, di bibirnya menguntum senyuman.
Dengan deraian air mata, Puan Hafsah menunaikan solat sunat mutlak dua rakaat. 
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun
Allahummaghfirlahu warhamhu wa afihi wa’fu anhu
Doa itu tidak putus-putus dipanjatkan ke hadrat Ilahi…
“ Ibu redha dengan pemergianmu Jebat. Dirimu hanyalah pinjaman dari Allah dalam hidup ibu, untuk menguji hamba-hamba-Nya. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.
 ************************************************************************
Fatihah menyeka air matanya yang mengalir. Perkhabaran yang baru diterimanya dari Puan Hafsah tadi mencarik-carik hatinya. Tetapi dia akur. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan terletak di dalam kekuasaan Allah, bukan di tangan manusia.
Sudah takdir bukan jodoh mereka berdua di dunia ini. Dia tidak menyesal dengan pemergian Jebat. Baginya tindak Jebat itu suatu yang betul.

 Perginya memburu syahid. 
 Perginya demi meninggikan agama Allah yang mulia ini.
Sekental Hang Jebat, yang membulatkan tekad untuk membantu sahabatnya Hang Tuah, sekental itulah semangat Dr Jebat untuk membantu saudara seagamanya di Palestin
Takbir !
Allahu Akbar !
 ~ MIAR ~
:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan