Jumaat, 13 Februari 2015

Secebis Kenangan Bersama Tuan Guru






Saya sedang berkira-kira untuk menyiapkan penulisan beberapa buah buku saya agar sempat diterbitkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 nanti ketika berita tentang perginya Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat rahimahullah tersebar di media sosial. Ketika itu, jam belum lagi melepasi 10.00 malam. Mengambil sikap berhati-hati dengan berita yang tersebar, saya menyemak kesahihan berita itu di beberapa sumber yang boleh dianggap berautoriti. Setelah beberapa laman Facebook yang saya anggap boleh dipercayai turut menyebarkan berita yang sama, barulah saya menulis status di laman Facebook untuk menyatakan kedukaan yang dirasai.
Laman sosial dipenuhi dengan berita beliau. Ucapan istirja’, doa, dan takziah bertebaran di mana-mana. Hampir segenap golongan baik ahli politik atau non partisan, dari orang atasan hingga ke peringkat bawahan, kawan mahupun lawan menyatakan perasaan dukacita mereka atas pemergian beliau. Ada yang tidak pernah bertemu beliau langsung sepanjang hayatnya. Saya mengambil sedikit masa untuk menulis sebuah puisi khusus untuk beliau. Tidak saya sangka, puisi itu kemudian dikongsikan oleh ratusan orang di laman Facebook mereka.
Saya tidak melihat beliau dari sisi politik. Biarlah orang politik yang membicarakannya. Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya melihat beliau dari dimensi kemanusiaan. Dimensi yang mungkin dilupakan oleh segelintir orang. Saya direzekikan untuk bertemu muka dengan beliau sekali. Rupa-rupanya itulah pertemuan kami yang pertama dan terakhir.
Setelah menamatkan pengajian Sarjana Theologi Islam pengkhususan Tafsir Hadis di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara ( IAIN SU ), saya pulang ke Malaysia. Ijazah yang saya perolehi ini setara dengan Sarjana Muda Usuluddin di Malaysia. Kini IAIN sudah bertukar nama kepada Universitas Islam Negeri ( UIN ). Untuk mengisi waktu yang terluang, saya memilih untuk mengikuti Daurah Pelajar Institut Pengajian Tinggi di Pondok Pasir Tumboh. Walaupun tempoh daurah itu tidaklah terlalu lama, namun kerana daurah itulah saya berpeluang untuk bertemu dengan Tuan Guru Nik Abd Aziz. Ketika daurah itu diadakan, Tuan Guru Haji Hashim, salah seorang pengasas Pondok Pasir Tumboh masih hidup.
Kebiasaannya Tuan Guru Nik Abd Aziz akan menyampaikan kuliah di Medan Ilmu Kota Bharu pada setiap hari Jumaat. Kebetulan pada suatu pagi Jumaat semasa berdaurah, ada waktu senggang. Tarikh pada hari itu ialah 17 Jun 2011. Saya dan beberapa orang rakan yang menyertai daurah mengambil kesempatan itu untuk pergi ke Medan Ilmu untuk mendengar kuliah Tuan Guru. Dengan berserban dan berkain pelikat seperti para pelajar pondok yang lain, kami pergi dengan menaiki teksi yang disewa secara berkongsi bayaran. Ramai juga pelajar Pondok Pasir Tumboh yang turut ke sana.
Sesampainya di Medan Ilmu, kuliah sudah bermula. Kedengaran suara penceramah menyampaikan butiran-butiran nasihat bergema melalui pembesar suara yang dipasang memenuhi medan itu. Dari kejauhan, suara itu seperti suara Tuan Guru Nik Abd Aziz, tetapi ada sedikit perbezaan. Ketika saya sedang meneka-neka suara siapakah itu, seorang sahabat yang turut serta dalam daurah menyatakan bahawa itu suara Tuan Ibrahim Tuan Man. Memang suara Tuan Ibrahim Tuan Man agak mirip dengan suara Tuan Guru. Maklumlah, mereka memiliki talian persaudaraan. Mungkin sebab itulah suara mereka hampir serupa.
Sejurus kemudian, ceramah berhenti. Di Medan Ilmu ini akan diadakan dua sesi ceramah pada setiap minggu. Sesi pertama diisi oleh penceramah jemputan. Sesi kedua akan diisi oleh Tuan Guru sendiri yang ketika itu masih bergelar Menteri Besar Kelantan. Oleh sebab sedikit terlewat,  kebanyakan ruang sudah dipenuhi oleh orang ramai. Hanya ruang di atas pentas ceramah yang masih belum dipenuhi. Saya mengambil tempat duduk di atas pentas bersama beberapa orang lain, berhampiran dengan Tuan Guru. Jarak antara saya dan Tuan Guru mungkin tidak sampai dua meter. Ceramah itu boleh ditonton di Youtube setelah dimuat naik sehari selepas itu. Saya tidak ingat sama ada saya sempat bersalam atau tidak dengan beliau sesudah ceramah.
Setelah daurah di Pondok Pasir Tumboh berakhir, saya dan sebahagian rakan yang menyertai daurah merancang untuk ke Masjid Pulau Melaka. Rencananya, kami akan menunaikan solat Subuh di masjid bersebelahan rumah Tuan Guru itu. Kebiasaannya, Tuan Guru akan mengimamkan solat Subuh di situ dan memberi sedikit tazkirah setiap hari jika beliau tidak ke mana-mana. Namun pada hari itu, kami tidak direzekikan untuk bertemu dengan Tuan Guru. Beliau difahamkan tidak berada di rumahnya ketika itu. Beberapa orang jemaah yang membawa anak-anak mereka untuk ditahnik oleh Tuan Guru kelihatan hampa. Akhirnya anak mereka ditahnik oleh salah seorang anak Tuan Guru. Saya tidak pasti siapa kerana tidak begitu cam wajahnya.. Mungkin Ustaz Nik Abduh kerana beliau tinggal bersama Tuan Guru.
Beberapa tahun kemudian, sekali lagi peluang untuk bertemu dengan Tuan Guru menjelma. Kali ini Tuan Guru dijadualkan berucap di Konvensyen Fiqh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam anjuran K-Fiqh, sebuah NGO yang diuruskan oleh guru saya Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Konvensyen ini bertujuan mendekatkan orang ramai dengan junjungan yang mulia, Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam. Namun Tuan Guru tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
Fikiran saya kembali mengimbas kenangan-kenangan tentang Tuan Guru ketika berita pemergiannya terus menjadi topik hangat di mana-mana. Sesetengah orang mungkin memiliki pandangan yang berbeza terhadap beliau dalam beberapa isu, namun mereka masih menghormatinya. Cukuplah para hadirin yang hadir di hari pengebumiannya menjadi saksi betapa kawan dan lawan hadir bersama untuk memberi penghormatan terakhir.
Saiyyiduna Umar radiallahu ‘anhu ketika menerima berita tentang kewafatan Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam seakan-akan sukar untuk menerimanya, sehinggalah Saiyyiduna Abu Bakar radiallahu ‘anhu membacakan ayat 144 Surah Ali Imran :
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
Ertinya :
Dan Muhammad itu tidak lain adalah seorang rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah sekiranya dia mati atau terbunuh maka kamu akan berpatah balik ke belakang? Sesiapa yang berpatah balik ke belakang maka seseungguhnya hal itu tidak memberi mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur
Tuan Guru telah pergi dengan meninggalkan legasinya. Biarlah beliau berehat dengan tenang di sana. Kita yang tinggal ini akan meneruskan perjuangannya. Perjuangan itu tidak semestinya dalam bidang politik. Kita boleh berjuang dalam apa jua bidang, asalkan matlamatnya ialah untuk menegakkan agama Allah yang tinggi ini. Sesekali mungkin kita tersalah membuat pilihan sepanjang perjalanan, namun asalkan matlamatnya betul, kita akan sampai ke destinasi

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiiun
Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan