Ahad, 31 Mei 2015

Sejenak Bersama Balai Maqamat : Aplikasi Gagasan Persuratan Baru Ke Alam Realiti





Tajuk : Balai Maqamat

Penulis : Mohd. Affandi Hassan

Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia ( ITBM )

“Karya ini ditujukan kepada pejuang intifadah persuratan Melayu. Andalah yang akan mengubah sastera yang lesu menjadi persuratan yang maju dan bermutu. Insya Allah.”
            Demikian ayat yang terakam dalam halaman ‘ Dedikasi ‘  buku bertajuk Balai Maqamat karya Mohd. Affandi Hassan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarangnya sendiri, buku ini ialah karya yang meneruskan idea yang diperjuangkan oleh beliau selama ini iaitu Gagasan Persuratan Baru.  Balai Maqamat, diilhamkan daripada maqamat popular karya Badiuzzaman al-Hamazani, namun diolah oleh Mohd. Affandi dengan gayanya yang tersendiri sehingga karya ini muncul sebagai karya asli yang berbeza dengan genre-genre sedia ada. Karya ini dibahagikan kepada empat bahagian, dan setiap bahagian mengandungi cerita yang tersendiri.
            Penulis seolah-olah memberi pengenalan kepada buku ini dalam kisah pertama iaitu Balai Pertama. Dalam kisah ini, watak pujangga tidak bernama itu seakan-akan mewakili penulis dalam kehidupan sebenar. Watak pujangga itu mengatakan bahawa dia mencipta sebuah karya bertajuk Sebuah Maqamat Melayu untuk meneroka belantara kreatif yang belum diminati para sasterawan. Harus diingat bahawa Mohd. Affandi Hassan membezakan antara karya sastera dan persuratan. Persuratan menurut beliau, lebih berminat kepada ilmu sebagai teras sesebuah karya, berbanding dengan sastera lebih menumpukan aspek cerita. Beliau turut membedakan antara sajak dan sanjak. Sajak menurut beliau ialah ciptaan para sasterawan, manakalan sanjak ialah ciptaan para pemikir. Beberapa buah sanjak beliau dimuatkan dalam buku ini melalui garapan ceritanya seperti Air Abu Gharib, Politik Orang Berjasa, dan lain-lain.
            Secara keseluruhan, Balai Maqamat adalah percubaan Mohd. Affandi Hassan untuk menerapkan Gagasan Persuratan baru ke alam praktikal. Gagasan ini mementingkan wacana dan ilmu dalam sesebuah karya, berbanding aspek penceritaan semata-mata. Konsep ini jelas tertonjol apabila beliau memasukkan kisah antara Ratu Saba’ yang dikenali sebagai Balqis ( nama ini berdasarkan riwayat Israiliyyat sebenarnya ) dengan Nabi Sulaiman ‘alaihi as-salam. Kisah ini dimuatkan dalam kisah Tenggelam Dalam Arus ketika seorang pelajar sarjana muda berdebat dengan profesornya. Pelajar itu pelajar yang cemerlang dan sekiranya beliau itu tidak mengkritik teori-teori sastera yang telah menjadi arus perdana, nescaya beliau akan memperoleh gred A dalam peperiksaannya dengan mudah. Namun, pelajar itu memilih untuk menongkah arus, dan berpegang kepada kebenaran yang beliau yakini, sehingga akhirnya nilai sebenar beliau bukan lagi terletak pada gred yang tercatat di atas kertas semata-mata. Dari satu sudut, Mohd. Affandi Hassan menunjukkan beliau banyak terpengaruh dengan pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Pendita Za’ba dalam karya ini.
 Saya fikir Mohd. Affandi Hassan menyedari tentangan-tentangan yang beliau hadapi dalam memperjuangkan Gagasan Persuratan Baru, sehingga sebahagiannya beliau tumpahkan dalam Balai Maqamat. Dan beliau juga menyedari saranan-saranan simpatisan terhadap beliau yang mencadangkan agar beliau melunakkan cara beliau memperjuangkan gagasan ini agar lebih mudah untuk diterima. Namun, nampaknya beliau memilih untuk mengekalkan cara yang sedia ada, sebagaimana sikap yang diambil oleh pelajar sarjana muda tadi, yang bertegas dengan pendirian yang diambilnya.
Kritikan-kritikan yang disampaikan melalui Balai Maqamat, terasa sedikit keras. Barangkali jika beliau mengolah sedikit pendekatannya, lebih ramai akan tertarik dengan dengan gagasan ini. Teori-teori sastera kita akan bertambah meriah, sementelahan pula wujud pelbagai teori lain seperti Teori Sastera Hasanah oleh Puan Ainon Mohd,  Teori Takmilah oleh Dr. Shafie Abu Bakar dan lain-lain yang turut mendapat sambutan hangat.

Kita tidak semestinya perlu bersetuju 100 % dengan idea beliau. Apa pun, buku ini sangat berbaloi untuk dibaca kerana mengandungi falsafah dan pemikiran yang tinggi untuk dihadam. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan