Rabu, 26 September 2012

Hanya Tiga Tiga Sekupang ( Episod 1 )







Di dalam sebuah kedai telefon, terdapat masyarakat telefon yang hidup aman damai antara satu sama lain.

Setiap telefon di situ berbeza-beza asal usulnya.

Ada yang berasal dari keluarga NOKIA, ada yang berasal dari keluarga SAMSUNG, ada yang berasal dari keluarga APPLE dan sebagainya.

Di antara telefon-telefon itu, ada sejenis telefon yang bernama 3310 dari keluarga Nokia.

3310 sering berasa rendah hati kerana keadaan dirinya yang serba kekurangan.

Dia tidak mampu mengambil gambar yang indah untuk bakal tuannya yang akan membelinya, tidak juga dia memiliki talian internet untuk disambungkan.

Pendek kata, dirinya tidak setanding dengan rakan-rakannya seperti Galaxy Tab dari keluarga SAMSUNG atau I-Phone 5 dari keluarga APPLE yang lebih berada.

3310 berasa sedih dengan kedhaifan dirinya itu.

"Masih adakah yang sudi untuk memilikiku nanti? Dengan keadaan diriku yang serba kekurangan ini? " itulah monolog yang sering difikirkan oleh 3310 setiap hari.


Pada suatu hari datang seorang ibu tua ke kedai itu.

Tuan punya kedai itu bertanya kepada si ibu :

"Puan ingin membeli telefon yang canggih dan bergaya? Puan boleh pilih Galaxy Tab atau I-Phone 5 kerana kedua-duanya jenama yang terkenal. Harganya hanya kira-kira RM 2500 bagi model yang terbaru" kata beliau.

Si ibu tersenyum tawar.

" Nak, mak cik tidak mampu untuk membeli telefon yang mahal seperti itu. Mak cik hanya seorang ibu tunggal yang bekerja untuk mencari sesuap nasi demi keluarga yang terdiri daripada 10 orang. Kami hanya makan sehari sekali. Suami mak cik telah lama meninggal dunia akibat kemalangan. Mak cik pula menghidap penyakit kencing manis yang memerlukan perbelanjaan yang banyak" balas ibu tua itu.

"Baru-baru ini anak mak cik yang sulung berjaya mendapat 10 A dalam SPM. Semenjak beliau lahir, mak cik tidak pernah membelikan sebarang hadiah kepada beliau kerana kami harus berjimat cermat. Sudah dua kali beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan PMR tetapi mak cik tidak mampu hendak membelikan beliau apa-apa. Kali ini mak cik mengumpul duit selama 2 tahun untuk membelikan beliau sebuah telefon. Sudah lama anak mak cik menyuarakan keinginannya untuk memiliki telefon seperti teman-temannya, namun baru kali ini mak cik mampu menunaikannya" perlahan si ibu menuturkan kata-katanya.

Terdiam tuan punya kedai itu mendengar penjelasan si ibu.

Ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

"Berapa harga telefon yang ini?" tanya si ibu sambil tangannya mengunjuk kepada 3310.

"Hanya RM 100 sahaja. Tapi saya boleh bagi diskaun. Mak cik hanya perlu bayar RM 50 sahaja" jawab tuan punya kedai itu.

"Baiklah, saya pilih yang ini." si ibu menghulurkan wang tanda pembelian.

Ada senyum yang terukir di bibirnya.

Hati 3310 pula berbunga-bunga.

Biarpun dirinya serba kekurangan, masih ada yang sudi memilikinya !

Bersambung ke episod 2......



Tiada ulasan:

Catat Ulasan