Ahad, 22 April 2012

Dalam Hati Ada Funfair





Cinta adalah fitrah kepada setiap insan yang normal. Sudah lumrah setiap insan, ingin menyayangi dan disayangi. Baik anak muda yang baru melangkah ke menara gading, mahu pun si fulan yang tinggal nun di hujung desa, keinginan untuk memiliki pasangan pasti pernah terlintas biar pun sesaat cuma.

Cinta yang hakiki, yang tiada duanya, adalah cinta kepada Sang Pencipta yang telah menjadikan insan dengan sebaik-baik kejadian. Tidaklah dijadikan segala jin dan manusia, melainkan untuk pengabdian diri kepada Yang Maha Esa semata-mata

Cinta yang sejati, adalah cinta kepada Nabi dan Rasul-Nya. Dengan hasil jerih-perih merekalah kita berpeluang mengecap nikmat Islam di hari muka.

Maka siapakah pemilik cinta kita selepas Allah dan Rasul?



Cinta yang abadi, adalah kasih seorang ibu kepada anaknya, dan sayang seorang ayah kepada darah dagingnya. Ditatang bagai minyak yang penuh, sepenuh perhatian dicurahkan kepada si anak yang tersayang. Begitu jua kasih saudara-mara.

Cinta bermusim, adalah rindu seorang teman kepada sahabatnya. Tatkala di samping, segala keperitan dikongsi bersama. Tika berjauhan, mungkin kadang-kadang kemanisan ukhuwwah itu terlupa.

Cinta yang tidak mengenal warna kulit, bahasa dan budaya, itulah cinta sesama umat Islam. Biar pun loghat jauh berbeza, namun di Mekah Al-Mukarramah kita tawaf bersama.

Cinta yang terbatas, adalah cinta sesama insan berbeda agama dan budaya. Meski pun kita berasal dari anak Adam yang sama, terkadang perbedaan yang ada menjarakkan kita.

Cinta yang terakhir, yang paling diidami manusia, adalah cinta kepada pasangannya. Saat hati berbunga cinta, semua perkara indah terasa, bagaikan dunia ini milik mereka. Sayangnya, cinta yang terakhir ini sering membuat kita terleka. Pandai-pandailah kita untuk mencorakkannya, demi meraih keredhaan Yang Maha Esa.

Rebutlah cinta Yang Maha Esa, nescaya cinta manusia menunggu kita. Sabarlah dalam meraih cinta Sang Pencipta, kerana dalam hati ada funfairnya..

^_^


Tiada ulasan:

Catat Ulasan