Khamis, 26 April 2012

Takbir Untuk Najihah


Sayup-sayup terdengar suara azan maghrib berkumandang di angkasa raya. Izzatun Najihah mengambil sebiji kurma ajwah yang telah disimpan dalam bekas makanan sebagai santapan berbuka puasanya pada hari ini. Sambil menyuakan kurma itu ke bibirnya, perlahan dia melafazkan doa yang diajar oleh junjungan Baginda s.a.w. :

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Ertinya :

Kehausan telah hilang, kerongkong telah dibasahi dan ganjaran pahala telah menanti Insya Allah.

“Doa ini dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam kitabnya Sunan Abi Daud, bab al-Qaul ‘Inda Iftar. Sanadnya sahih menurut Imam Daruquthni,”.  Demikian kata guru hadisnya, Ustaz Furqan di universiti tempat dia menadah ilmu dahulu.

    Meskipun universiti yang terletak di utara tanah air tersebut tidaklah segah mana, namun dia tetap bersyukur kerana di situlah dia berjaya  mengenggam segulung Ijazah dalam bidang Tahfiz wal Syariah dengan kepujian kelas pertama.


    Selesai berbuka puasa, dia bergegas ke bilik air untuk berwudhuk, lantas bersiap-siap untuk menunaikan solat maghrib. Niat di hatinya mahu ke masjid di hujung kampungnya itu untuk menunaikan solat teraweh berimamkan Imam Afiq Hakimi. Imam muda itu yang merupakan kenalan lamanya sejak kecil, baru sahaja bertugas di kampungnya. Beliau baru pulang ke tanah air setelah bertahun-tahun bermukim di Mesir  kerana menuntut di Universiti Al-Azhar, universiti yang telah melahirkan ramai graduan terkemuka dunia. Di Malaysia sendiri, nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abd Rahim, Mursyidul Am Parti Bulan dan Bintang serta Ustaz Fathul Majid dari Parti Keris Semalaysia adalah lulusan universiti itu.

    Suara Imam Afiq Hakimi yang merdu itu menyentuh ke sanubarinya. Dengan bersahaja imam muda itu melagukan ayat-ayat al-Quran dengan Tarannum Jiharkah. Sebelum menunaikan solat, sempat beliau menitipkan pesan kepada para jemaah agar merebut peluang untuk menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan ini dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari  dalam kitab Sahih Al-Bukhari, bab Fadhlu Man Qama Ramadhan :

  مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Ertinya :

Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap keredhaan Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.

    Usai berteraweh, Izzatun Najihah terus pulang ke rumah sewanya tanpa berbasa-basi terlebih dahulu dengan jemaah yang sibuk menikmati moreh. Kadang kala, ada yang tidak menunaikan solat teraweh secara berjemaah, tapi sekadar datang ke masjid untuk menikmati  jamuan yang disediakan.

    Setibanya di rumah, matanya pantas mencari telefon bimbit miliknya. Telefon tiga tiga sekupang itu pemberian Rektor Universitinya dulu, Prof. Amru Alkaff sempena kecemerlangannya dalam akademik di hari konvokesyennya. Telefon itu masih digunakan oleh dirinya, meskipun telah bertahun lamanya dia mengorak langkah meninggalkan dunia pengajian tinggi.

EPILOG

“ DANIEL HAIKAL”

    Itulah nama yang tertera di skrin telefonnya. 10 panggilan tidak berjawab. Dia masih ingat nama itu. Nama yang menyimpan 1001 kenangan. Spontan fikirannya mengimbas peristiwa 5 tahun yang lalu...

“Janganlah pipit bermimpi untuk menjadi enggang. Andai kucing menumbuhkan tanduknya sekalipun, kami tidak akan menerima kamu sebagai menantu kami. Darjat antara kita menjadi pembeda,”. Tegas Datin Sabrina, ibu kandung Daniel Haikal. Dialog itu kembali terngiang-ngiang di telinganya.

    Danial Haikal adalah bekas teman sepengajiannya di universiti dulu. Orangnya berada, kacak, bersopan santun, dan sering menjadi sebutan di kalangan teman-temannya sendiri kerana akhlaknya yang terpuji. Dengan kedudukan kewangan bapanya yang kukuh, sebenarnya Daniel Haikal boleh memilih apa-apa bidang pengajian yang disukai. Ditambah pula dengan keputusan cemerlang yang diperolehinya dalam peperiksaan SPM dahulu. Namun entah kenapa, bidang Tahfiz wal Syariah yang menjadi pilihannya.

“Bukan kekayaan fizikal yang ana cari, tapi ketenangan jiwalah yang lebih bererti. Dengan mempelajari ilmu agama, ana menemui apa yang ana cari selama ini,”. Lembut lidah Daniel Haikal menuturkan ketika ditanya oleh Ustaz Furqan di hadapan kelas suatu ketika dahulu.

    Dalam diam-diam, rupa-rupanya pemuda itu tertarik hati dengan Izzatun Najihah. Bukannya tidak ada gadis lain yang lebih cantik, namun ada sesuatu pada gadis itu yang meruntun naluri kelelakiannya.

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Ertinya :

Seseorang wanita itu dinikahi kerana 4 perkara ; Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya dirimu akan beruntung.

“Saya memilih Najihah kerana agama yang ada padanya,”. Yakin nada Daniel Haikal menuturkan ayat tersebut setelah terlebih dahulu dia membacakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, bab Istihbab An-Nikah Zat Al-Din itu.

    Itulah jawapan yang diberinya kepada ibu Izzatun Najihah ketika dia dengan beraninya mengambil langkah untuk bertemu dengan keluarga si gadis untuk menyampaikan hasrat hatinya. Memang itu yang disyaratkan oleh Izzatun Najihah kepada Daniel Haikal melalui perantaraan Ustaz Furqan jika dia benar-benar menaruh hati kepada gadis itu. Izzatun Najihah mahu perhubungan mereka dijalinkan di atas dasar syariat.  Hanya ibunya satu-satunya ahli keluarga yang dimiliki oleh Izzatun Najihah yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Bapanya telah lama menemui Sang Pencipta tatkala dia masih kecil lagi.

“Mak cik tiada halangan sekiranya Daniel berniat ikhlas kepada Najihah. Namun, adakah keluarga Daniel sudah mengetahui hasrat Daniel untuk menyunting Najihah?”. Ungkapan dari ibu Izzatun Najihah menyentak hati Daniel Haikal yang tadinya berbunga-bunga dengan harapan.

    Ternyata, apa yang dibimbangkan oleh si ibu menjadi kenyataan. Hasrat Daniel Haikal ditentang keras oleh keluarganya. Hubungan yang dijalin tanpa restu orang tua, pasti tiada pula keberkatannya di sisi Yang Maha Esa. Kemuncaknya, Datin Sabrina sendiri menemui Izzatun Najihah dan ibunya di rumah mereka lantas mengungkapkan kata-kata yang terngiang-ngiang  kepada dirinya tadi. Sambil mendengus marah, beliau beredar meninggalkan mereka dalam keadaan terpinga-pinga. Ibunya yang terlalu terkejut dengan kejadian itu, lantas mengalami serangan jantung.

“Mak, jangan tinggalkan Najihah mak... Najihah dah tiada sesiapa lagi di dunia ini selain emak,”. Ujar Najihah dengan linangan air mata sambil memangku ibunya yang rebah tiba-tiba.

    Dada si ibu turun naik mengikut pergerakan nafasnya yang tidak lagi menentu. Matanya pejam celik menahan kesakitan yang menusuk di jantungnya. Ambulans sudah dihubungi, namun entah bila waktunya akan sampai ke destinasi.

“Najihah...”. Si ibu cuba menggagahkan suara.

“Ya mak, Najihah di sini...”. Air matanya bercucuran tidak henti-henti. Tidak mampu dia menahan sebak melihat ibunya bertarung nyawa di depan matanya sendiri.

“Apa pun yang terjadi, jangan tinggalkan solatmu nak... Dan maafkanlah mereka yang menyakiti hatimu di dunia ini... Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,”. Lemah suara ibunya menuturkan kata-kata tersebut.

“La Ilaha Illa Allah...”. Usai menuturkan kalimah tahlil, perlahan-lahan kelopak matanya ditutup. Dadanya tidak berombak lagi...

“Inna lillahi wa Inna Ilaihi Rajiiun...”. Sayu hati Najihah menahan hiba. Kini tinggallah dirinya sebatang kara menongkah arus kehidupan yang penuh onak duri. Mungkinkah sang mentari akan kembali bersinar di dalam hidupnya?

MENCARI NUR ILAHI

    Itu kisah 5 tahun yang lalu. Semenjak peristiwa itu, tidak pernah lagi dia mengetahui sebarang berita tentang Daniel Haikal. Sengaja dia menjauhkan diri. Terakhir kali, dia mendengar bahawa Daniel Haikal telah pun berkahwin dengan pilihan Datin Sabrina sendiri. Walaupun Izzatun Najihah tertarik dengan keikhlasan Daniel Haikal yang bersungguh-sungguh untuk mempersunting dirinya, namun baginya keredhaan orang tua lebih utama. Apalah ertinya menganyam kasih di atas lautan yang bergelora? Bukankah syariat Islam itu yang lebih utama? Lantas dipujuk jiwanya yang muda. Dibalut lukanya dengan air mata. Kepada Ilahi lah diajukan segala duka dan sengsara. Andai resah menggamit hatinya, pasti dia teringat kepada nasihat Ustaz Furqan kepada dirinya setelah gurunya itu mengetahui konflik yang terjadi.

”Jangan ditangisi apa yang bukan milikmu Najihah. Manusia hanya mentadbir, dan Allah lah yang menentukan takdir. Setiap sesuatu yang berlaku itu pasti tersirat hikmahnya,”. Lantas beliau membacakan ayat 216 surah al-Baqarah [2] :

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya :

Diwajibkan berperang ke atas kamu sedangkan kamu tidak menyukainya. Dan mungkin kamu tidak menyukai sesuatu sedangkan perkara itu baik bagi kamu. Dan mungkin juga kamu menyukai sesuatu sedangkan perkara itu buruk bagi kamu. Dan Allah lah yang Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya.

    Memang banyak hikmahnya peristiwa pahit itu. Kini hari-harinya ditemani dengan qiyam al-lail yang istiqamah. Bukan dia tidak pernah mengerjakannya sebelum ini, cuma tidak konsisten dia melakukannya dek kesibukan mengejar urusan dunia. Al-Quran yang dulu hanya dibuka untuk dihafaz kandungannya, kini mula ditadabburi maknanya. Kitab Fathul Bari karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani  As-Syafie yang mensyarahkan kitab Sahih Bukhari, kini menjadi peneman malamnya. Masa-masa senggangnya terisi dengan kerja-kerja kebajikan di rumah anak-anak yatim. Dia sendiri dalam diam-diam mula berasa seronok dengan perubahan dirinya.

Tiba-tiba satu sms menerjah masuk ke telefonnya.

“Assalamualaikum. Maafkan ana kerana mengganggu. Ana cuma ingin memberi perkhabaran. Ibu ana berada dalam keadaan kronik sekarang di Hospital Pulau Mutiara. Beliau mengalami komplikasi hati di tahap yang kritikal dan memerlukan penderma hati bagi menggantikan hatinya yang telah rosak. Namun setakat ini masih tiada penderma yang sesuai. Jika sesuatu menimpa ibu ana, ana harap anti boleh memaafkan kesalahan ibu ana pada anti dan ibu anti dahulu. Wassalam,”.

    Bergetar jiwanya menerima sms dari Daniel Haikal itu. Tidak pernah dia berdendam dengan Datin Sabrina sekeluarga di atas apa yang terjadi. Memaafkan, namun tidak bererti melupakan. Kadang kala terasa luka di hatinya masih berdarah meskipun puas sudah dia membalutnya.

    Diam-diam, satu keputusan getir dilakukan. Selesai menunaikan 2 rakaat solat istikharah pada malam itu, Najihah semakin yakin dengan keputusannya. Keesokannya dia bergegas ke lapangan terbang untuk bertolak ke utara tanah air. Tiket kapal terbang telah ditempahnya secara dalam talian. Pada saat ini terasa bermanfaatnya teknologi jika digunakan ke arah kemaslahatan.

HARGA SEBUAH KEIKHLASAN

    Di Hospital Pulau Mutiara, keluarga Datin Sabrina menerima perkhabaran yang tidak disangka-sangka. Ada penderma yang tidak dikenali telah bersetuju untuk mendermakan hatinya kepada Datin Sabrina yang mengidap penyakit ‘alcoholic cirrhosis’ akibat gaya hidupnya yang sering bertemankan air kencing syaitan itu. Syaratnya, identitinya dirahsiakan. Kebetulan, setelah beberapa ujian dan penyelidikan dilakukan, terdapat keserasian antara hati penderma dan penerima. Hal ini boleh dikatakan suatu keajaiban kerana amat sukar untuk mencari penderma hati yang sesuai, tambahan pula jika si penderma tiada hubungan darah dengan si penerima. Birokrasi juga menjadi penghalangnya. Lihat sahaja kisah Ahmad Khariri Al Hadi dengan adik Mohd Yohit Mohd Farhan yang pernah tersiar di dada-dada akhbar dulu. Hasrat murni Ahmad Hariri untuk membantu si kecil yang malang itu, nyaris tidak kesampaian dek birokrasi yang menyulitkan. Natijahnya, si pesakit meninggal dunia, dan si penderma pula yang menanggung derita hingga ke hari ini. Mujurlah ayah Daniel Haikal, Dato’ Rustam Ali mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Kesihatan Negara, Dato’ Lee Chong Wei. Kerenah birokrasi dapat diatasi dengan mudahnya.

    Proses pemindahan hati berjalan lancar. Beberapa hari selepas pembedahan, Datin Sabrina sudah dibenarkan pulang ke rumahnya. Pengalaman di ambang maut rupa-rupanya menerbitkan keinsafan di hati kecil Datin Sabrina. Beliau mula mencari tikar sejadah yang terakhir kali disentuhnya ketika masih anak hingusan dahulu. Azam di diukir untuk meninggalkan gaya hidupnya yang kebarat-baratan hingga menyebabkan dirinya terlantar di rumah sakit. Terdetik di hatinya untuk mengenali siapakah gerangan insan yang begitu mulia melakukan pengorbanan, namun tidak mahu namanya diagung-agungkan. Masih wujudkah insan seperti ini di dunia yang dikuasai oleh falsafah Marxisme?

    Kepada anaknya Daniel Haikal, diminta untuk merisik identiti si penderma. Niat Datin Sabrina cuma satu, mahu memberikan penghargaan kepada insan yang membolehkan dirinya kembali berjejak di bumi ciptaan Sang Khaliq dan mensyukuri nikmat-nikmatnya yang diberikan secara percuma. Puas dirisik, akhirnya Daniel berjaya menemui rahsia si penderma yang dicari. Alangkah terkejutnya dia apabila mengetahui siapakah sebenarnya orang itu. Itupun dengan bantuan Dato’ Lee Chong Wei. Ternyata kuasa yang dimiliki oleh seseorang bisa menukarkan langit menjadi bumi dan begitu juga sebaliknya. Alangkah bermanfaatnya jika kuasa yang dimiliki itu semakin mendekatkan pemiliknya dengan Yang Maha Berkuasa.

“Najihah?!”.

    Tergamam seketika Datin Sabrina mendengar perkhabaran dari Daniel Haikal tersebut. Tidak disangkanya insan yang pernah dihinanya suatu ketika dahulu, kini menjadi insan yang telah menyelamatkan nyawanya bertahun-tahun kemudian.

“Sudahkah kamu menghubungi dia Daniel?”. tanya Datin Sabrina dengan perasaan ingin tahu yang bergejolak.

“Belum berjaya emak. Nombor telefon lamanya tidak dapat dihubungi kerana sudah  tiada dalam perkhidmatan,”. Jawapan yang diberikan oleh Daniel ternyata tidak dapat meredakan perasaan Datin Sabrina.

“Begini sahajalah Daniel. Kamu tahu alamatnya bukan? Di pagi hari raya nanti mari kita sekeluarga bersama-sama ke rumahnya di selatan tanah air itu. Kita raikan lebaran dengan Najihah. Dia pun hanya tinggal sebatang kara. Emak ingin meminta maaf di atas kesalahan emak kepadanya selama ini,”. Akhirnya Datin Sabrina membuat keputusan yang dirasakannya sebagai jalan keluar terbaik pada saat itu.

     Dato’ Rustam Ali hanya  mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju. Wardatus Safiyyah, isteri Daniel Haikal yang dari tadi mendengar perbualan antara suaminya dan keluarganya mendengus kecil. Ada rona-rona cemburu di wajahnya.

BERAKHIRNYA SEBUAH HIKAYAT

    Hari yang dinanti tiba jua. Lebaran tahun ini disambut dengan berbeza oleh keluarga Datin Sabrina. Awal-awal lagi mereka telah menempah tiket pesawat ke selatan tanah air pada malam terakhir Ramadhan. Wang tidak pernah menjadi masalah kepada keluarga mereka. Namun adik-beradik Daniel Haikal yang lain agak keberatan untuk ke sana kerana masing-masing telah berkeluarga. Jadi hanya Datin Sabrina, Dato’ Rustam Ali, Daniel Haikal dan isterinya yang menaiki pesawat. Setibanya di lapangan terbang, mereka terus menuju ke hotel untuk merehatkan diri. Keesokan harinya, selesai menunaikan solat subuh, mereka menyewa teksi menuju ke kampung asal Najihah.

    Dari jauh kedengaran gema takbir sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki di perkampungan yang dituju. Memang mereka sekeluarga telah mengambil keputusan untuk menunaikan solat hari raya di masjid kampung itu sahaja.

    Selesai sahaja khutbah Aidilfitri disampaikan, orang ramai berpusu-pusu keluar dari masjid. Ada juga yang tidak menunaikan solat sunat Aidilfitri, sebaliknya menghisap rokok dibawah pokok sambil bergelak tawa sesama mereka. Keluarga Datin Sabrina pun menyusur jalan untuk ke rumah Najihah yang terletak tidak jauh dari perkarangan masjid.

    Rumah  yang dituju kelihatan sunyi sepi sepi. Tiada tanda-tanda penghuninya bersedia menyambut tetamu yang datang sebagaimana lazimnya hari raya. Segalanya kosong bagaikan tidak berpenghuni. Puas Daniel Haikal mengucapkan salam, namun tidak berjawab. Mungkinkah penghuninya telah berhijrah ke destinasi baru pula?

“Marilah kita pulang sahaja abang. Apalah yang bagus sangat dengan si Najihah ini?”. Getus Wardatus Safiyyah. Sayang, akhlaknya tidak seindah namanya.

    Namanya pun perempuan. Cemburunya sukar dihilangkan biarpun Daniel Haikal telah menjadi miliknya yang sah. Tambahan pula dia berasal dari keluarga berdarah diraja. Memang sifat ego dan bongkak telah menjadi darah dagingnya. Kadang-kadang terdetik rasa menyesal di hati Datin Sabrina menjodohkan anaknya dengan Wardatus Safiyyah. Namun apakan daya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku sesal padahnya. Mujurlah Daniel Haikal banyak berkompromi dengan kerenah isterinya. Ternyata didikan agama itu bisa membentuk akhlak yang mulia.

    Kebetulan Imam Afiq Hakimi melalui jalan itu untuk pulang ke rumah. Memang dia sering berjalan kaki sahaja untuk pergi dan pulang ke masjid yang hanya terletak sepelaung dari rumahnya. Apabila dia ternampak keluarga Datin Sabrina di perkarangan rumah Najihah, tergerak di hatinya untuk bertegur sapa. Gerangan apakah yang dicari di rumah yang sudah tidak berpenghuni?

“Jadi kamulah Daniel Haikal?”. Ujar Imam Afiq Hakimi selesai Daniel Haikal menerangkan tujuan kedatangan mereka ke situ.

    Akhirnya bertemu juga mereka setelah sebelum ini dia hanya mendengar namanya sahaja dari bibir Izzatun Najihah. Memang dulu dia pernah menaruh harapan kepada Najihah. Tambahan pula mereka sekampung dan saling kenal-mengenali sejak kecil. Namun pemergiannya ke Mesir menyebabkan dia memendamkan perasaan itu buat seketika. Setelah dia kembali ke tanah air, Izzatun Najihah pula mengungkapkan melalui ibunya bahawa hatinya telah dimiliki. Daniel Haikal empunya nama. Begitulah permainan cinta dunia. Sukar ditebak ke mana arahnya.

“Sebenarnya, Izzatun Najihah telah meninggal dunia beberapa hari yang lalu. Dia meninggal kerana komplikasi pembedahan hati yang dijalankan. Dia mendapat jangkitan kuman dan doktor pula tidak dapat mengesannya dari awal. Jenazahnya disemadikan di perkuburan kampung ini. Mari saya bawa kamu sekeluarga ke sana.” Perlahan Imam Afiq Hakimi menuturkan peristiwa hiba yang terjadi. Dia sendiri yang mensolatkan jenazah Izzatun Najihah dan menguruskan pengebumiannya.

    Berita yang diterima itu ibarat halilintar menyambar ke sanubari Datin Sabrina. Air matanya berlinangan mengenangkan kemuliaan hati Najihah yang telah mengorbankan nyawanya sendiri demi orang yang pernah menghinanya. Terpaksa pula Wardatus Safiyyah menenteramkan ibu mertuanya itu. Hatinya turut tersentuh dengan pengorbanan Najihah. Walaupun dirinya tidaklah sebaik mana, namun di hati Wardatus Safiyyah masih terselit sekelumit sifat peri kemanusiaan. Demikianlah manusia, sekeras-keras hatinya yang hitam diselaputi dosa, masih ada warna putih yang tersisa.

    Setibanya di tanah perkuburan, kelihatan ramai orang turut menziarahi kubur-kubur di situ. Al maklumlah hari raya. Sudah menjadi adat penduduk di Malaysia untuk menziarahi kubur sanak saudara. Seolah-olah hari yang lain tidak perlu menziarahi kubur pula. Imam Afiq Hakimi menunjukkan di mana kubur Izzatun Najihah berada. Dia kemudian meminta izin untuk pulang ke rumahnya sebentar. Ingin mengambil sesuatu katanya.

WARKAH UNTUK SEORANG TEMAN

    Dato’ Rustam Ali diam tidak terkata. Daniel Haikal kebingungan memikirkan berita yang diterima. Perlahan Imam Afiq Hakimi menghampiri dari kejauhan seraya menghulurkan sepucuk surat yang disimpan di sakunya. Sempat dia mengambil surat itu di rumahnya tadi. Surat bertulisan tangan itu dititipkan kepadanya oleh Izzatun Najihah sebelum gadis itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Warkah untuk Daniel Haikal.

    Terketar-ketar tangan Daniel Haikal menyambut surat yang dihulurkan oleh Imam Afiq Hakimi. Fikirannya berkecamuk. Perlahan-lahan dia membacanya...

Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh...

Sahabatku yang kukasihi,

Andai dirimu menerima warkah ini, maka ketahuilah bahawa diriku telah tiada lagi di dunia yang fana ini. Pergiku mengadap Ilahi, Yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi.

Andai di antara kita pernah ada kisah yang tercipta, maka di sinilah penghujung jalan cerita. Jangan disesali takdir yang menimpa, kerana di sana pasti ada hikmahnya.

Andai ada hati yang terluka, maka maafkanlah sahabatmu ini yang tidak sempurna. Sesungguhnya diriku hanyalah insan biasa, kadang kala hanyut di arus noda.

Tiada sengketa antara kita, walau hidup ini pernah berendam air mata. Kemaafan kuberi tanpa dipinta, kepada dirimu dan juga bonda.

Daku mendoakan dirimu bahagia, di samping pilihanmu yang lebih sempurna. Hargailah dia seadanya, kerana itulah takdir Allah yang tersurat di azali-Nya. Andai tiada jodoh kita di dunia, daku kan menanti dirimu di akhirat sana...

Daku mengasihimu kerana agamamu, andainya hilang agamamu, maka hilanglah kasihku.

Kita bertemu kerana Allah, kita berpisah jua kerana-Nya.

Sekian,

Wassalam.

    Bergenang air mata di pelupuk Daniel Haikal tatkala dia sampai ke kalimah terakhir surat itu. Ada pilu yang bertandang di hatinya. Namun dia sedar, inilah takdir dari Allah Taala yang harus diterima dengan berlapang dada. Andainya kita mencintai makhluk, maka sesungguhnya makhluk akan binasa. Maka cintailah Sang Khaliq, kerana Dia kekal selama-lamanya.

    Sayup-sayup terdengar  takbir dilaungkan di masjid memecahkan keheningan pagi. Takbir yang bergema, seolah-olah ingin turut menyatakan kepiluan di atas pemergian Izzatun Najihah ke hadhrat Ilahi. Takbir yang agung, takbir yang suci, takbir untuk Najihah..........


Hasil Nukilan : Izwan Al Hakim

HAK CIPTA TERPELIHARA ©



2 ulasan:

  1. Cerpen mnarik..tp nama watak2 lawak..pmain bdminton ada..ahli politik pn ada.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nama watak-watak itu memang disengajakan... Kerana cerpen ini sebenarnya sebuah satira...

      ^_^

      Padam